Selasa, 14 November 2017 | 11:37am
SEORANG pemetik buah kelapa, Malik Redzuan Mohamed, 32, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa atas pertuduhan merogol kenalan perempuan adiknya berusia 12 tahun pada Februari 2014 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Pemetik kelapa mengaku tidak bersalah

AYER KEROH: Seorang pemetik kelapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun lapan bulan, tiga tahun lalu.

Malik Redzuan Mohamed, 32, dari Kluang, Johor membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Pekan Umbai, Jasin, antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang, pada Februari 2014.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob menawarkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh.

Meor Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nora Yaacob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X