Jumaat, 10 November 2017 | 5:50pm
ANGGOTA bomba bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa mayat remaja lemas, Abu Sabri Jalani, 18, ke jeti SK Tambisan Darat yang ditemui kira-kira 100 meter daripada lokasi kejadian dua buah bot berlanggar di perairan Tambisan, di Lahad Datu. - Foto Ihsan APMM
ANGGOTA bomba bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa mayat remaja lemas, Abu Sabri Jalani, 18, ke jeti SK Tambisan Darat yang ditemui kira-kira 100 meter daripada lokasi kejadian dua buah bot berlanggar di perairan Tambisan, di Lahad Datu. - Foto Ihsan APMM

Mayat mangsa nahas bot ditemui

LAHAD DATU: Remaja lelaki yang hilang selepas bot pam yang dinaiki bersama dua rakannya berlanggar dengan sebuah bot pam lain di perairan Tambisan, dekat sini, petang kelmarin, ditemui lemas di perairan itu, tengah hari tadi.

Mayat Abu Sabri Jalani, 18, ditemui terapung oleh orang kampung dan anggota agensi keselamatan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, pada ‪jam 1.25‬ tengah hari.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid, berkata mayat remaja berkenaan ditemui dalam keadaan sempurna berpakaian seperti yang dilaporkan ketika kejadian.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan awal pagi tadi dengan memperluaskan kawasan pencarian pada jarak lingkungan 12 batu nautika sebelum menemui mayat remaja itu dalam keadaan terapung.

Dalam kejadian 6.45 petang kelmarin, Abu Sabri, dan adiknya, Asraf Jalani, 16, serta seorang lagi rakan mereka, Mohamad Yazer, 11, dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Tambisan menuju ke Tambisan Darat.

Bagaimanapun, bot yang dikemudi Mohamad merempuh sebuah bot dikemudi seorang lelaki dikenali sebagai Zamazi Zakaria, 31, yang datang dari arah bertentangan.

Susulan kejadian itu Asraf dan Mohamad mengalami kecederaan manakala Abu Sabri hilang.

Pemandu bot berasingan pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan membawa dua mangsa yang cedera ke Klinik Tambisan sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu bagi pemeriksaan lanjut.

Ketika kejadian, kedua-dua bot itu dikatakan tiada lampu dan kejadian dipercayai berlaku akibat keadaan yang gelap.

Berita Harian X