Selasa, 7 November 2017 | 8:25pm

Serang polis: Suspek utama ditahan

KLANG: Polis menahan suspek utama yang cuba melanggar seorang pegawai polis serta jirannya, dalam rusuhan di Taman Sri Andalas, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di tepi jalan berdekatan Bukit Tinggi, di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

ACP Shamsul Amar Ramli.- Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ACP Shamsul Amar Ramli.- Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Suspek ditahan ketika menaiki kereta lain dan bukan kenderaan yang digunakan dalam cubaan melanggar pegawai polis pada malam kejadian.

"Hasil siasatan lanjut, kami berjaya mengesan kereta yang disembunyikan suspek di taman perumahan di Bukit Tinggi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai penarik kereta yang mengalami kemalangan itu akan ditahan reman pagi esok.

Dalam kejadian malam kelmarin, seorang pegawai polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, apabila diserang sekumpulan lelaki yang cuba merusuh, selepas seorang daripada kawan mereka melanggar sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di kawasan taman perumahan terbabit.

KERETA yang diparkir di tepi jalan dilanggar di Taman Sri Andalas. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KERETA yang diparkir di tepi jalan dilanggar di Taman Sri Andalas. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Selepas terdengar tembakan, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri serta turut melanggar pengadu dan jirannya," katanya.

Shamsul Amar berkata, susulan kejadian, empat lelaki dan seorang wanita ditahan berhubung kejadian itu, semalam sebelum suspek utama ditahan tengah hari ini.

Berita Harian X