Khamis, 2 November 2017 | 3:11pm

Kedai emas disamun, rugi RM1.1 juta

PETALING JAYA: Dua lelaki bertopeng bersenjatakan parang menyamun kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara di sini dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Lelaki terbabit menyerbu kedai emas itu kira-kira jam 10.10 pagi ketika pekerjanya baru membuka kedai memulakan perniagaan dan melarikan barang kemas dalam tempoh enam minit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata ketika itu, empat pekerja berada dalam premis berkenaan termasuk seorang pengawal keselamatan.

"Suspek meluru ke arah pengawal keselamatan sebelum merampas senjata api milik pengawal terbabit.

"Pada masa sama, seorang lagi suspek pergi ke rak pameran barang kemas di bahagian hadapan dan merampas tujuh dulang barang kemas," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera, berwarna putih.

Beliau berkata polis masih berusaha mengenal pasti suspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

PASUKAN Forensik PDRM melakukan siasatan berikutan kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara. - Foto Saddam Yusoff
PASUKAN Forensik PDRM melakukan siasatan berikutan kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X