Isnin, 30 Oktober 2017 | 3:26pm
NOR Azmi Sattar. - Foto Rasul Azli Samad
NOR Azmi Sattar. - Foto Rasul Azli Samad

Patah hidung elak dicekup

MELAKA: Seorang penagih dadah patah hidung selepas motosikal ditunggangi merempuh pokok ketika operasi anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri di sini, pagi tadi di bekas tapak pelupusan sampah Krubong.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, lelaki berusia 33 tahun itu memecut laju motosikal di laluan bertanah, sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok hingga patah.

Penolong Pengarah AADK negeri, Nor Azmi Sattar, berkata ketika kejadian suspek panik selepas menyedari laluan terbabit dipenuhi anggota penguat kuasa lalu memecut laju motosikalnya dan hampir merempuh seorang anggota pihak berkuasa berkenaan.

"Rempuhan kuat itu mengakibatkan suspek patah hidung dan berdarah di bahagian muka, sebelum diberikan rawatan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam Ops Perdana AADK disertai seramai 55 anggota, termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bermula jam 6 hingga 11.30 pagi itu, seramai 54 lelaki berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan selepas disyaki penagih dadah.

AADK turut merampas 0.7 gram dadah dipercayai jenis heroin daripada tiga penagih berusia lingkungan 30-an.

Nor Azmi berkata, daripada jumlah 54 penagih yang ditahan, 10 daripadanya diserahkan kepada polis, masing-masing tujuh terbabit dalam kes jenayah dan tiga memiliki dadah.

"Hasil siasatan mendapati, kumpulan penagih dadah ini mengubah lokasi yang kebiasaan dijadikan 'port' untuk melepaskan gian, namun masih dalam kawasan bekas tapak pelupusan sampah.

"Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri untuk ujian air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Berita Harian X