Jumaat, 27 Oktober 2017 | 3:35pm
REINHARD Jeremiah Benedic maut selepas pacuan empat roda melanggar mangsa ketika melintas jalan di Jalan Kionsom di Inanam, Kota Kinabalu. - Foto ihsan PDRM
REINHARD Jeremiah Benedic maut selepas pacuan empat roda melanggar mangsa ketika melintas jalan di Jalan Kionsom di Inanam, Kota Kinabalu. - Foto ihsan PDRM

Ucap selamat tinggal selepas kenal langgar

KOTA KINABALU: "Bye Onel, abang tiada sudah."

Itu kata-kata terakhir Reinhard Jeremiah Benedict, 12, kepada adiknya, Rophe Imanuel, 11, selepas dilanggar pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Kionsom, dekat Inanam, semalam.

Bapa mangsa, Benedict Albert, 40, berkata kata-kata itu diucapkan Reinhard yang sempat bangun seketika selepas kemalangan itu sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

"Berdasarkan cerita Onel (nama panggilan Rophe), abangnya itu sempat duduk selepas dilanggar dan mengungkapkan kata-kata berkenaan kepada adiknya sebelum dia terbaring semula. Keadaan itu menyebabkan adiknya trauma kerana mereka memang rapat.

"Reinhard juga menunjukkan perubahan apabila lebih banyak berdiam diri beberapa minggu ini sedangkan dia anak yang aktif.

"Sebelum ini dia lebih banyak bermain bersama rakannya, tetapi sejak beberapa hari lalu hanya duduk di rumah. Kami sekeluarga memang sedih kerana dia adalah anak yang baik dan abang sulung kepada tiga adik-adiknya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari semalam, Reinhard dilanggar pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 51 tahun ketika melintas di Jalan Kionsom, Inanam.

Dia yang parah akibat kejadian itu dibawa ke Klinik Kesihatan Inanam sebelum dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 3.17 petang.

Benedict berkata, mereka sekeluarga bertambah sedih selepas melihat diari kecil milik anaknya itu yang penuh dengan tulisan dan lukisan serta lirik lagu Ku Hanya Sayang Padamu, nyanyian Aiman Tino yang ditujukan kepada rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodon, Inanam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata ketika kejadian pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser itu dalam perjalanan dari Kampung Kionsom ke Penampang.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, pemandu terbabit melihat sebuah bas sekolah memberhentikan penumpang di bahu sebelah kiri jalan dan meneruskan perjalanan, namun apabila melepasi bas berkenaan, tiba-tiba mangsa melintas dari sebelah kiri ke kanan jalan.

"Akibat jarak terlalu dekat, pemandu tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu merempuh kanak-kanak berkenaan menyebabkan terpelanting," katanya.

Berita Harian X