Selasa, 10 Oktober 2017 | 3:10pm
PENGARAH SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan bergambar bersama orang ramai pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Buku Kod Etika dan Tatakelakuan peringkat Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di Kuala Berang, hari ini. - Foto Rozainah Zakaria
PENGARAH SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan bergambar bersama orang ramai pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Buku Kod Etika dan Tatakelakuan peringkat Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di Kuala Berang, hari ini. - Foto Rozainah Zakaria

Penjawat awam terbabit rasuah meningkat di Terengganu

KUALA BERANG: Seramai 38 dari 44 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana terbabit rasuah dan salah guna kuasa sejak Januari tahun ini hingga Khamis lalu, adalah penjawat awam.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan, berkata sebanyak 33 pertuduhan sudah selesai, manakala bakinya iaitu 11 individu masih menunggu tarikh pertuduhan.

"Statistik itu menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan dan pertuduhan berbanding hanya 15 tangkapan dengan 18 tuduhan sepanjang tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Buku Kod Etika dan Tatakelakuan peringkat Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan Sumber Manusia), Marzuki Endut dan Yang Dipertua MDHT, Osman A.Bakar.

MDHT adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketiga di negeri ini yang menandatangani IBR, selepas Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Mohd Zaki berkata, walaupun berlaku peningkatan kes tangkapan rasuah, tetapi keadaan masih terkawal dan SPRM akan terus mengadakan program untuk meminimumkan perbuatan itu.

Katanya, kebanyakan kes tangkapan rasuah adalah hasil dari maklumat orang ramai selain melalui saluran dari Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang dilancarkan Ogos lalu.

Ketika mengulas jumlah keahlian GERAH di negeri ini, Mohd Zaki berkata, setakat ini lebih 4,635 membabitkan individu terutama golongan belia mendaftar sebagai ahli GERAH.

Berita Harian X