Isnin, 9 Oktober 2017 | 10:00am
MOHD Zani Che Din. - Foto Khairull Azry Bidin
MOHD Zani Che Din. - Foto Khairull Azry Bidin

Penjenayah cedera ditembak polis

 

KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah cedera terkena satu das tembakan ketika cuba melarikan diri daripada buruan polis dalam kejadian di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di sini, awal pagi tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, suspek yang memandu kereta bertindak melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

 

Suspek berusia 33 tahun itu membuat pusingan-U dan cuba meninggalkan sekatan jalan raya.

 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata kereta peronda polis Kontinjen Kuala Lumpur mengejar suspek sehingga kawasan Kampung Kayu Ara sebelum suspek memandu semula ke LDP.

 

"Suspek bertindak memandu secara melawan arus di LDP dan menghala ke Puchong, kemudian kereta suspek melanggar bahu jalan dan berhenti.

 

"Dia kemudian cuba melarikan diri dengan memanjat pembahagi jalan untuk masuk ke persimpangan Jalan SS2/75.

 

"Anggota polis melepaskan satu das tembakan dan terkena pada bahagian belakang badan suspek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mohd Zani berkata, siasatan awal mendapati suspek yang beralamat di Damansara Damai, Sungai Buloh, Selangor mempunyai rekod jenayah lampau.

 

"Suspek sebelum ini dipercayai terbabit dalam kes jenayah pecah rumah dan curi kenderaan.

 

"Kereta yang digunakan suspek juga kereta yang dilaporkan dicuri di Damansara," katanya.

 

"Suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan, dan berada dalam keadaan stabil," katanya. 

Berita Harian X