Ahad, 8 Oktober 2017 | 12:20pm
KERETA yang rosak selepas merempuh dua wanita di Jalan Buli Sim-Sim, di Sandakan. - Foto ihsan PDRM
KERETA yang rosak selepas merempuh dua wanita di Jalan Buli Sim-Sim, di Sandakan. - Foto ihsan PDRM

Warga tua maut dirempuh kereta

SANDAKAN: Seorang wanita warga tua maut, manakala seorang lagi wanita parah dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Buli Sim-Sim, di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 5.30 petang itu, mangsa, Ommai Jurail, 72, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent di sini, manakala mangsa kedua, Fadilah Saibil, 54, cedera parah.

Ketika kejadian, sebuah kereta Perodua Viva yang dipandu seorang wanita warga tua berumur 73 tahun dalam perjalanan ke arah Batu 4, di sini, merempuh kedua-dua wanita terbabit yang secara tiba-tiba cuba melintas jalan.

Difahamkan, pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa menyebabkan kedua-duanya melambung di cermin hadapan kereta, sebelum terjatuh di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini menggunakan ambulans.

"Mangsa yang cedera parah masih dirawat di zon merah Hospital Duchess of Kent dan dilaporkan stabil.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki kerana melintas jalan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kemalangan berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X