Sabtu, 7 Oktober 2017 | 5:28pm
Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan ruang tamu sebuah rumah dua tingkat di Taman Impian Ehsan, Balakong dekat Kajang yang terbakar mengakibatkan dua melecur termasuk seorang wanita sarat mengandung, malam tadi.
Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan ruang tamu sebuah rumah dua tingkat di Taman Impian Ehsan, Balakong dekat Kajang yang terbakar mengakibatkan dua melecur termasuk seorang wanita sarat mengandung, malam tadi.

Mangsa kebakaran hamil lapan bulan

SERDANG: Seorang daripada dua mangsa yang terselamat dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Impian Ehsan, Balakong, Kajang malam tadi sudah dipindahkan ke wad biasa Hospital Serdang.

Muhammad Firdaus Hafizi, 18, dipindahkan pada jam 4 pagi tadi untuk rawatan akibat menyedut terlalu banyak asap ketika kebakaran berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Norhafiza Muhammad, 26, yang juga kakak ipar Muhammad Firdaus dan sedang hamil lapan bulan, masih di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ibu Muhammad Firdaus, Maimunah Irun, 49, berkata anak bongsunya itu dalam keadaan stabil dan doktor memaklumkan paru-paru mangsa mengalami masalah selepas tersedut asap.

"Bagaimanapun keadaan dia stabil dan mampu memberi tindak balas setiap kali mendengar suara saya dan bapanya. Norhafiza masih di wad ICU, dia juga tersedut asap dan lecur lebih teruk daripada Firdaus.

Ibu Muhammad Firdaus, Maimunah Irun.
Ibu Muhammad Firdaus, Maimunah Irun.

"Doktor sedang memantau keadaannya dan kandungan. Jika tiada petunjuk positif, doktor terpaksa menjalankan pembedahan untuk menyelamatkan bayinya," katanya ketika ditemui BH.

Maimunah berkata, ketika kejadian anak lelaki dan menantunya itu sedang tidur selepas pulang dari kerja.

"Ketika kebakaran, menantu sempat mengejutkan anak saya serta memecahkan tingkap belakang rumah untuk meminta tolong daripada jiran.

"Anak kedua saya, suami kepada Norhafiza, Muhammad Feykiee bergegas pulang sebaik menerima berita mengenai kebakaran berkenaan.

"Dia meluru masuk ke dalam rumah bersama jiran untuk menyelamatkan isterinya. Mereka masuk semula ke dalam rumah sebaik tahu Muhammad Firdaus masih di dalam.

"Dalam keadaan asap tebal itu, mereka terpijak Muhammad Firdaus dan terus membawanya keluar," katanya.

Maimunah berkata, bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran yang memusnahkan bahagian ruang tamu rumahnya itu.

"Tiada siapa tahu macam mana kebakaran bermula, tetapi saksi ada nampak api bermula dari bahagian luar rumah, di bahagian tempat letak kereta.

"Buat masa ini saya tidak terlalu memikirkan mengenai punca kebakaran dan keadaan. Saya hanya risaukan keadaan anak dan menantu," katanya.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kebakaran memusnahkan keseluruhan bahagian ruang tamu rumah teres dua tingkat berkeluasan 55 meter persegi berkenaan.

Dua mangsa terselamat kemudian dihantar ke Zon Merah Hospital Serdang untuk rawatan oleh bomba. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.30 malam.

Berita Harian X