Selasa, 3 Oktober 2017 | 9:35pm
Beberapa bahagian rusa dilindungi dan babi yang ditemui pada sebuah rumah di Kinabatangan. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Beberapa bahagian rusa dilindungi dan babi yang ditemui pada sebuah rumah di Kinabatangan. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Dua lagi ditahan kes bunuh penyu

KOTA KINABALU: Dua lagi individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kegiatan haram memburu penyu di Semporna, ditahan hari ini.

Ia susulan penemuan bangkai dan ratusan rangka penyu di Pulau Bum-Bum, Semporna minggu lalu.

Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan di Pulau Dinawan, pagi tadi manakala wanita berusia 30-an ditahan di Kampung Amboh-Amboh, Pulau Bum-Bum, pada sebelah petang.

Penahanan dua lagi suspek itu, menjadikan tiga individu ditahan setakat hari ini, selepas seorang suspek lelaki berumur 60 tahun ditahan di Kampung Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, semalam.

Rangka penyu yang ditemui di beberapa kampung di Pulau Bum-Bum, Semporna minggu lalu. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Rangka penyu yang ditemui di beberapa kampung di Pulau Bum-Bum, Semporna minggu lalu. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata kenyataan dua suspek terbabit akan direkodkan untuk membantu siasatan.

"Hari ini kita menahan dua suspek dan kini dalam usaha mengesan beberapa lagi suspek lain yang dikenal pasti terbabit dalam kegiatan haram memburu penyu di sekitar perairan Semporna.

"Kita menjangka ada lagi beberapa tangkapan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Augustine berkata, usaha mencari mereka masih diteruskan dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, Taman-Taman Sabah dan Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF).

Sementara itu, Augustine berkata, siasatan berhubung kes pembunuhan seekor gajah jantan di Kinabatangan, baru-baru ini, diteruskan ke kawasan hulu sungai.

"Sebuah rumah disyaki dihuni lelaki yang pada awalnya disyaki ada kaitan dengan kes itu ditemui pagi ini, namun pemeriksaan hanya menemui sebahagian daripada spesies lain yang dilindungi.

"Dalam operasi itu, dua lelaki warga Indonesia ditahan untuk siasatan lanjut mengenai pemilikan haram beberapa bahagian rusa yang dilindungi dan babi," katanya.

Berita Harian X