Isnin, 2 Oktober 2017 | 3:52pm

Dihukum penjara lima tahun dan lima sebatan

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak kafe siber, tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Andy Yunus Adam, 35, memerintahkan tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 17 Oktober 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompak berkumpulan dengan seorang lagi yang masih bebas terhadap pekerja kafe siber, Lem Choon Huat, 55.

Ketika kejadian, tertuduh telah mencuri harta iaitu wang tunai sebanyak RM380 dengan menggunakan sebilah parang sebagai senjata dan didakwa dilakukan di No 47, Glomac Centro, Jalan Teratai, PJU 6A, Kayu Ara, Damansara, di sini pada jam 7 pagi, 26 Oktober 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazalina Razali memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan mangsa mengalami trauma akibat diacukan senjata parang oleh tertuduh yang memecah masuk ke dalam kafe siber itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga selain menjaga ibu yang sudah tua.

Berita Harian X