Ahad, 1 Oktober 2017 | 2:31pm
PEMANDU treler didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan empat kematian. - Foto NSTP
PEMANDU treler didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan empat kematian. - Foto NSTP

Pemandu treler sebabkan 4 beranak maut didakwa

GUA MUSANG: Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan empat sekeluarga termasuk bayi berusia 13 hari maut, kelmarin.

Tertuduh, Ismail Mohammad Zain, 31, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan, Ismail didakwa memandu treler jenis Hino bernombor pendaftaran ACV 4932 dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Wira.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, jam 7.50 pagi, pada 29 September lalu.

Mangsa yang maut ialah Zainuddin Anuar, 30; isteri, Raizuamira Daud, 31; anak sulung mereka, Nur Annisa Sofea, 2, dan bayi, Zayyan Nazreel yang berusia 13 hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun serta denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail, menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Ismail yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah mengurangkan wang jaminan itu kerana dia perlu menanggung keluarga serta dua anak.

Mohd Rosly kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam kejadian itu, bayi berusia 13 hari antara empat maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini.

Keluarga berkenaan yang tinggal di Selangor dalam perjalanan pulang ke kampung di Pasir Mas sebelum kereta Proton Wira dipandu Zainuddin bertembung dengan treler membawa muatan beras.

Berita Harian X