Selasa, 26 September 2017 | 12:31pm

22 November sebutan semula kes militan

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes tiga suspek militan yang dituduh merancang menyertai kumpulan pengganas.

Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan daripada Keselamatan Siber sebelum kes boleh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Nor Azmi Zahyi, 48, dan dua warga Indonesia Faisal Abu Bakar, 24, dan Ali Misron, 36, dengan prosiding dijalankan secara tertutup di Bilik Mesyuarat Dua Mahkamah Rendah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nor Azmi dan Faisal ditahan pasukan antikeganasan pada 15 Jun lalu, kira-kira jam 12.20 tengah hari di hadapan sebuah butik di pusat bandar Sandakan, manakala Ali pada jam 6.15 petang di balai ketibaan Lapangan Terbang Sandakan.

Ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat hendak pergi ke Filipina menerusi Malaysia bagi maksud persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di negara itu dan dituduh mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Faisal turut didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) kerana pada tarikh dan waktu sama didapati dalam milikannya tanpa kebenaran sah, senjata berbahaya iaitu tiga bilah pisau masing-masing berukuran 27.3 sentimeter.

Sementara itu, Ali turut didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan kerana didapati dalam telefon bimbitnya mengandungi perkara berunsur perbuatan keganasan yang berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faisal Mohd Noor yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Malaysia, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Berita Harian X