Isnin, 25 September 2017 | 2:49pm
SEORANG wanita warga Filipina, Iyam Datu Matli, 43, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas kesalahan menipu dalam penjualan kad pengenalan pemastatutin tetap (PR) berjumlah RM3,000, dua tahun lalu ketika dihadapkan ke mahkamah Majistret dan dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Majistret Mohd Firdaus Saleh di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan

Dipenjara 20 bulan, tipu jual kad PR

AYER KEROH: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap seorang wanita warga Filipina atas kesalahan menipu dalam penjualan kad pengenalan pemastautin tetap (PR) berjumlah RM3,000, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Iyam Datu Matli, 43, selepas ibu kepada lapan anak itu mengaku bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama Ahmad Zakri Raman, 31, memperdaya seorang lelaki warga Indonesia, Adam Abdul Rashid, supaya menyerahkan RM3,000 bagi mendapatkan kad pengenalan PR yang tidak wujud.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kenderaan, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekitar jam 5.30 petang, pada 3 September 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda.

Ahmad Zakri dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan, pada 24 Ogos lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ashraf Mohamed Tahir, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, manakala Iyam yang tidak diwakili peguam bela merayu hukumannya diringankan.

Mohd Firdaus kemudian memutuskan hukuman penjara 20 bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Mac 2016.

Berita Harian X