Ahad, 24 September 2017 | 4:10pm
KEMALANGAN membabitkan tiga kereta di Kilometer 59.5 Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba
KEMALANGAN membabitkan tiga kereta di Kilometer 59.5 Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 59.5 Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 59.5 Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba

Ibu bapa maut, anak cedera kemalangan

KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri maut, manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 59.5 Lebuhraya Senai-Desaru, dekat sini, hari ini.

Muhamad Faizal Ramli, 30, yang memandu PERODUA Myvi dan isterinya, Nurul Farehah Syawal, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah bahagian badan dan kepala, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dipercayai anak mereka dilaporkan cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohamed Sazif Mohamed Subri, berkata PERODUA Myvi dari arah Senai menghala ke Desaru bertembung dengan PROTON Waja daripada arah bertentangan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan Honda HRV yang mengekori PERODUA Myvi tidak sempat mengelak sebelum turut merempuh PROTON Waja.

"Akibat dari kemalangan itu, pemandu PERODUA Myvi dan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak dalam kereta cedera ringan.

"Pemandu PROTON Waja turut cedera parah, manakala pemandu dan penumpang kereta Honda HRV cedera ringan. Keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail, dekat sini, untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Sazif berkata, siasatan dijalankan mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, selain menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika memandu terutama di musim cuti hujung minggu.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Sailaini Oda, dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, yang mengetuai operasi menyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.19 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian jam 10.42 pagi, lapan anggotanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 59.5 Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 59.5 Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba

Berita Harian X