Khamis, 7 September 2017 | 4:14pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau membersihkan tumpahan raksa dalam kejadian termometer pecah di Sekolah Rendah Arab Merlimau Pasir, Merlimau. -Foto Ihsan Bomba dan Penyelamat
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau membersihkan tumpahan raksa dalam kejadian termometer pecah di Sekolah Rendah Arab Merlimau Pasir, Merlimau. -Foto Ihsan Bomba dan Penyelamat

Guru dan murid 'dimandikan'

JASIN: Seorang guru dan lapan murid lelaki terpaksa 'dimandikan' selepas satu termometer terjatuh dan pecah menyebabkan berlakunya tumpahan raksa di makmal Sekolah Rendah Arab Merlimau Pasir, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Muhd Asyraf Muhd Rasid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.52 pagi, sebelum sepasukan 15 anggota ke lokasi kejadian dan melakukan pembersihan serta nyah cemar terhadap guru lelaki berusia 28 tahun itu dan murid-muridnya.

"Mengikut maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku ketika sesi pengajaran tamat dan mereka yang berada di bilik makmal aras bawah bangunan empat tingkat itu sedang mengemas peralatan.

"Bagaimanapun, seorang daripada lapan murid Tahun Lima berkenaan yang memegang termometer terlepas daripada tangannya dan jatuh ke lantai menyebabkannya pecah, sebelum guru terbabit menghubungi pihak bomba," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Muhd Asyraf berkata, kerja pembersihan bagi memastikan tiada sisa raksa tamat kira-kira jam 1 tengah hari.

"Semua mereka yang berada dalam makmal itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Merlimau untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X