Khamis, 7 September 2017 | 4:05pm
EMPAT daripada lima sekeluarga dibawa ke Mahkamah Majistret Limbang bagi menghadapi tuduhan merogol dan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak bawah umur yang juga anggota keluarga mereka. - Foto Kandau Sidi
EMPAT daripada lima sekeluarga dibawa ke Mahkamah Majistret Limbang bagi menghadapi tuduhan merogol dan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak bawah umur yang juga anggota keluarga mereka. - Foto Kandau Sidi

Bicara kes rogol, cabul 5 sekeluarga November

LIMBANG: Mahkamah Majistret menetapkan 20 hingga 24 November ini untuk perbicaraan kes membabitkan lima sekeluarga yang menghadapi 22 tuduhan merogol dan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak bawah umur antara Jun hingga November tahun lalu.

Majistret Mohd Hafizi Abdul Halim menetapkan tarikh itu untuk serahan dokumen selepas semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Terdahulu, lima lelaki yang memiliki pertalian keluarga dituduh merogol dan mencabul kehormatan kanak-kanak berusia 12 tahun.

Mereka terdiri daripada datuk mangsa berusia 72 tahun, ayah mangsa berusia 40 tahun dan tiga sepupu mangsa berusia antara 16 hingga 21 tahun.

Bapa mangsa dituduh merogol mangsa sebanyak empat kali, manakala tertuduh kedua dan ketiga yang juga sepupu mangsa, masing-masing dituduh merogol mangsa sebanyak tiga kali dan empat kali.

Tertuduh kelima iaitu datuk mangsa, dituduh mencabul kehormatan mangsa sebanyak enam kali, manakala seorang lagi sepupu mangsa dituduh mencabul kehormatan mangsa empat kali. 

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka dituduh merogol dan mencabul kehormatan mangsa di beberapa kawasan berasingan di sebuah kampung di daerah ini antara penghujung November 2016 hingga Jun lalu.

Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 376B, Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan , Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C, Kanun Keseksaan.

Berita Harian X