Rabu, 6 September 2017 | 2:44pm

Masuk tandas wanita, lelaki dipenjara 12 bulan

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret menjatuhi seorang buruh binaan dengan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan memasuki tandas wanita dan mengaibkan kehormatan seorang jurutera wanita.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa hari ini selepas tertuduh, Arizal Jasni, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan jenayah dengan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 22 tahun dengan mengganggu kesantunan mangsa dengan memasuki tandas awam itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis perniagaan, Jalan Persiaran, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang pada 8.15 malam, 2 September lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika diminta membuat rayuan, tertuduh hanya menggelengkan kepala dan berkata tiada sebarang rayuan mahu dibuat walaupun mahkamah memberi empat kali peluang untuk berbuat demikian.

Mengikut fakta kes yang diakui tertuduh, dia masuk ke tandas wanita itu ketika mangsa berada di dalamnya.

Tertuduh kemudian datang meluru ke arah mangsa yang mahu keluar dari pintu tandas berkenaan.

Berita Harian X