Isnin, 4 September 2017 | 9:50am
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal di Kilometer 12, Jalan Chalok-Telaga Papan, Permaisuri, Terengganu, malam tadi.- Foto ihsan pembaca
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal di Kilometer 12, Jalan Chalok-Telaga Papan, Permaisuri, Terengganu, malam tadi.- Foto ihsan pembaca

Maut cuba elak babi

PERMAISURI: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta di Kilometer 12, Jalan Chalok-Telaga Papan di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu meragut nyawa, Mohamad Sulaiman Salleh, 19, yang dipercayai cuba mengelak daripada melanggar seekor babi melintas.

Mangsa dikatakan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah Perodua Axia, menyebabkannya cedera parah di kepala.

Rakannya, Muhammad Al-Qusyairi Awang Mat, 17, yang menunggang motosikal berasingan, patah tangan dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata siasatan awal mendapati dua motosikal dari arah Telaga Papan menghala ke Chalok dilapor memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

"Pertembungan menyebabkan mangsa yang menunggang seorang diri tercampak ke atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, berdasarkan keterangan Muhammad Al-Qusyairi, mereka cuba mengelak daripada terlanggar babi yang melintas sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan susulan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X