Rabu, 30 Ogos 2017 | 5:52pm
DUA beranak ditemui rentung dalam keadaan berpelukan selepas kediaman mereka di Kampung Sri Jaya, Jalan Maharajalela, Hutan Melintang, dekat sini hangus dalam kebakaran awal pagi ini. - Foto ihsan Bomba
DUA beranak ditemui rentung dalam keadaan berpelukan selepas kediaman mereka di Kampung Sri Jaya, Jalan Maharajalela, Hutan Melintang, dekat sini hangus dalam kebakaran awal pagi ini. - Foto ihsan Bomba

Dua beranak rentung dalam keadaan berpelukan

TELUK INTAN: Dua beranak ditemui rentung dalam keadaan berpelukan selepas kediaman mereka di Kampung Sri Jaya, Jalan Maharajalela, Hutan Melintang, dekat sini hangus dalam kebakaran awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, S Kalaivani, 47, bersama anak perempuannya, G Vikneswary, 12, ditemui rentung dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Lima lagi ahli keluarga mangsa yang tinggal di rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan, berkata suami Kalaivani, R Ghanasekharan, 51, turut melecur pada badan selepas gagal menyelamatkan anak dan isterinya dalam kebakaran berkenaan.

"Suami mangsa melecur kira-kira empat peratus, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan dan dilaporkan stabil," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, empat lagi ahli keluarga mangsa, iaitu M Moganathas, 32; R Valarmathy, 34; M Sarvina, 12 bulan dan P Ramasamy, 80, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai kira-kira jam 3.30 pagi ketika saksi yang juga anak saudara mangsa terdengar letupan kecil sebelum terasa bahang api di bahagian atas rumah.

"Dia bersama ahli keluarga lain yang berada di bahagian bawah rumah terus keluar menyelamatkan diri. Tingkat atas ketika itu terbakar dan kedua-dua mangsa yang sedang tidur gagal diselamatkan," katanya.

Katanya, bomba percaya kebakaran akibat litar pintas dan kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata bomba menerima panggilan kira-kira jam 3.53 pagi sebelum menghantar pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang serta Teluk Intan.

Katanya, operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba, Tuan Soh Tuan Lah itu tamat kira-kira jam 7.45 pagi.

Berita Harian X