Rabu, 30 Ogos 2017 | 4:45pm
'BOMOH' Marhaji Madjin, dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Sibu. - Foto Harun Yahya
'BOMOH' Marhaji Madjin, dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Sibu. - Foto Harun Yahya

Bomoh Indonesia dituduh rogol pesakit

SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah rumah di Sibujaya, pada 21 Ogos lalu.

Tertuduh Marhaji Madjin, 29, yang mengaku sebagai bomoh didakwa mencabul kehormatan seorang wanita berusia 20 tahun di sebuah rumah antara jam 11 malam hingga 11.59 malam.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Saiful Sayoti, membenarkan suspek dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin warga Malaysia manakala pasportnya ditahan serta diarah melaporkan diri di balai terdekat setiap minggu.

Bagi dua lagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Caroline Bee Majanil, tertuduh didakwa merogol dan memasukkan jari ke kemaluan mangsa yang sama.

Bagi pertuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(F) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan manakala bagi kesalahan seksual memasukkan jari ke kemaluan, dia didakwa mengikut seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu dan hakim membenarkan dia diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 19 September ini.

Difahamkan, ibu mangsa membawanya berjumpa tertuduh yang mengaku bomoh untuk mendapatkan rawatan bagi sakit perut.

Tertuduh bagaimanapun dikatakan mengambil kesempatan dengan mencabul dan merogol mangsa ketika 'rawatan' sedang dijalankan.

Berita Harian X