BANDAR SERI JEMPOL: Dua lagi mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 24, Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Geddes petang tadi, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Ini menjadikan mangsa yang maut dalam kemalangan itu tiga orang, manakala lima yang lain cedera ringan dan kini mendapatkan rawatan di hospital sama.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Azham Shah Azlan, berkata mangsa yang maut adalah Puteri Nursha Sara Zainal, 10, dari Sepang, Selangor iaitu anak kepada wanita yang maut di lokasi kejadian, Noordiana Nordin, 37.
Seorang lagi mangsa katanya, pemandu Perodua Myvi, Mohd Saufi Mohd Sidek, 33, dari Batu Pahat, Johor.
"Mangsa lain yang cedera ringan adalah suami Noordiana, iaitu pemandu pacuan empat roda Nissan Navara, Zainal Kinto, 38, serta seorang lagi anak mereka Mohammad Nifzal, 11.
"Turut cedera pemandu pacuan empat roda Mitsubishi Triton, Chong Chuan Tat, 32, dari Simpang Pertang, pemandu sebuah lagi Perodua Myvi, Mohd Khairul Adnan Awang Hamat, 29, dan penumpangnya, Sepiah Isa, 62, masing-masing dari Bandar Tun Abdul Razak, Pahang," katanya.
Terdahulu BH melaporkan seorang wanita maut, manakala tujuh yang lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan Nordiana maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.