X
Khamis, 17 Ogos 2017 | 4:59pm
PUTERI Nur Aisya ketika dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan ambulans.
PUTERI Nur Aisya ketika dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan ambulans.
PUTERI Nur Aisya Azahar, dua tahun, maut akibat disengat tebuan di rumahnya di Kampung Lay Out Tok Has, Besut.
PUTERI Nur Aisya Azahar, dua tahun, maut akibat disengat tebuan di rumahnya di Kampung Lay Out Tok Has, Besut.

Budak 2 tahun maut disengat tebuan

JERTIH: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas disengat kira-kira 30 tebuan di Kampung Lay Out Tok Has, Besut, Terengganu, tengah hari semalam.

Mangsa, Puteri Nur Aisya Azahar, dari Kampung Lay Out Tok Has, dekat sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, jam 4.30 pagi tadi.

Ibu mangsa, Rubiyah Ismail, 45, berkata anaknya diserang tebuan ketika bermain berhampiran kedai makan yang tidak beroperasi di tepi rumahnya, kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.

Beliau berkata, kejadian disedari datuk mangsa, Ismail Mat Ali, 69, yang dikejutkan dengan jeritan Puteri Nur Aisya ketika Ismail sedang berbaring di atas tangga di hadapan rumah.

"Ketika ayah saya sampai berdekatan arwah, dia nampak tebuan memenuhi badan anak saya lalu ayah tepis tebuan itu dan memeluk arwah supaya tebuan tidak menyengat cucunya.

"Tindakan itu menyebabkan ayah turut disengat kira-kira 10 tebuan lalu dia membawa lari Puteri Nur Aisya sebelum membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

"Anak saya kemudian dirujuk ke HSNZ, namun sejak malam semalam keadaannya semakin tenat apabila doktor memberitahu dia tidak boleh membuang air kencing dan buah pinggang tidak berfungsi," katanya sayu.

Jenazah kanak-kanak terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasar Akar di sini, selepas Zohor tadi.

Berita Harian X