Jumaat, 11 Ogos 2017 | 3:40pm
SEORANG wanita dipercayai daripada mangsa kemalangan yang menyebabkan seorang bayi perempuan berusia dua bulan, maut. - Foto ihsan pembaca
SEORANG wanita dipercayai daripada mangsa kemalangan yang menyebabkan seorang bayi perempuan berusia dua bulan, maut. - Foto ihsan pembaca

Bayi 2 bulan maut kemalangan

MANJUNG: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut apabila kereta dinaikinya berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda, malam tadi.

Mangsa, Nur Raisya Azzahra Muhd Azlizan Shah, yang dipangku penumpang hadapan, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) ketika menerima rawatan pada 1.30 pagi tadi.

Kemalangan di Kilometer (KM) 14, Jalan Lumut-Ipoh itu juga menyebabkan ibu bayi berkenaan dan dua lagi penumpang kereta, cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kemalangan jam 9 malam itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda City, yang dinaiki mangsa bersama ibu dan dua penumpang lain dengan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika Honda City yang dipandu ibu mangsa, Noor Safiah Yusoff, 23, dari arah Beruas menghala ke Lumut berada di lampu isyarat Kampung Sungai Wangi.

"Apabila tiba di lampu isyarat Kampung Sungai Wangi, wanita terbabit meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar hijau.

"Tiba-tiba sebuah pacuan empat roda dari arah Lumut, membelok ke kanan dipercayai ketika itu lampu isyarat masih merah di laluannya.

"Berikutan jarak yang terlalu dekat, Honda City berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian depan kiri pacuan empat roda berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Hanif berkata, akibat kemalangan itu, ibu mangsa yang berkerja sebagai guru mengalami sakit pada bahagian perut.

"Penumpang hadapan Honda City yang juga wanita berusia 52 tahun patah kaki dan tangan, selain lebam pada mata, manakala seorang lagi wanita yang juga penumpang belakang kenderaan berkenaan patah kaki," katanya.

Muhammad Hanif berkata, polis masih belum mendapat butiran pemandu pacuan empat roda berkenaan dan beliau juga dipercayai belum membuat laporan.

Berita Harian X