Rabu, 9 Ogos 2017 | 8:27pm
PEGAWAI Penyelaras Operasi PPM Sandakan, Inspektor Hafiz Ogob (kiri) bersama anggota PPM Sandakan menunjukkan telur penyu yang dirampas. - Foto Ihsan PPM Sandakan
PEGAWAI Penyelaras Operasi PPM Sandakan, Inspektor Hafiz Ogob (kiri) bersama anggota PPM Sandakan menunjukkan telur penyu yang dirampas. - Foto Ihsan PPM Sandakan

3,300 biji telur penyu dirampas

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 3,300 biji telur penyu disyaki cuba diseludup masuk ke daerah ini dari selatan Filipina menggunakan dua bot melalui Kuala Laut Sungai Batu Putih, dekat sini, pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz, berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota PPM Sandakan selepas mengesan dua bot terbabit dalam keadaan mencurigakan pada jam 4.30 pagi.

Katanya, ketika dihampiri kedua-dua juragan memecut laju bot masing-masing dan enggan berhenti apabila diarahkan sebelum merempuh kawasan hutan bakau lalu terjun ke laut dan melarikan diri.

"Pemeriksaan kemudian menemui semua telur penyu terbabit diletakkan dalam tujuh karung guni di kedua-dua bot berkenaan.

"Kita turut merampas dua unit enjin pam yang digunakan oleh bot berkenaan dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM11,100," katanya kepada media di sini, sebentar tadi.

Semua rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan selanjutnya mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Berita Harian X