X
Rabu, 9 Ogos 2017 | 6:00pm

'Inspektor seluar dalam' jalani pemeriksaan

ALOR SETAR: Seorang inspektor polis Kedah yang ditahan dengan hanya berseluar dalam di tandas wanita di sebuah pusat beli-belah dekat sini kelmarin, dibawa untuk menjalani pemeriksaan mental.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, tidak mendedahkan lokasi pegawai berusia 32 itu dihantar bagi pemeriksaan.

Beliau mengesahkan suspek yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) negeri itu berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan.

"Kita masih menyiasat apa sebenarnya yang berlaku dan punca suspek berkelakuan begitu. Dia direman tujuh hari dan belum memberi keterangan.

"Suspek yang berasal dari Kuching, Sarawak dalam keadaan khayal ketika ditahan dan memiliki plastik lutsinar berisi 0.62 gram syabu bersamanya," katanya.

Kelmarin, rakaman video seorang wanita berang dengan tindakan lelaki didakwa pegawai polis yang ditemui dengan hanya berseluar dalam di tandas wanita di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Suspek direman mulai semalam mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X