Jumaat, 28 Julai 2017 | 6:51pm
LIMA lelaki yang memiliki pertalian keluarga didakwa di Mahkamah Majistret di Limbang, hari ini, atas 22 tuduhan merogol seorang kanak-kanak bawah umur antara November tahun lalu hingga Jun lalu. - Foto ihsan PDRM
LIMA lelaki yang memiliki pertalian keluarga didakwa di Mahkamah Majistret di Limbang, hari ini, atas 22 tuduhan merogol seorang kanak-kanak bawah umur antara November tahun lalu hingga Jun lalu. - Foto ihsan PDRM

Datuk, bapa, 3 sepupu hadapi 22 tuduhan rogol

LIMBANG: Lima lelaki yang memiliki pertalian keluarga didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 22 tuduhan merogol seorang kanak-kanak bawah umur antara November tahun lalu hingga Jun lalu.

Mereka yang dituduh merogol mangsa berusia 12 tahun itu terdiri daripada datuk mangsa berusia 72 tahun, ayah mangsa berusia 40 tahun dan tiga sepupu mangsa berusia antara 16 hingga 21 tahun.

Bapa mangsa dituduh merogol mangsa sebanyak empat kali manakala tertuduh kedua dan ketiga yang juga sepupu mangsa, masing-masing dituduh merogol mangsa sebanyak tiga kali dan empat kali.

Manakala tertuduh kelima iaitu datuk mangsa, dituduh merogol mangsa sebanyak enam kali, manakala seorang lagi sepupu mangsa dituduh merogol mangsa sebanyak lima kali. 

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka dituduh merogol mangsa di beberapa kawasan berasingan di sebuah kampung di daerah ini antara penghujung November 2016 hingga Jun lalu.

Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Hafizi bin Abdul Halim manakala prosiding pendakwaan di kendalikan pegawai pendakwa Inspektor Mohamad Faris Mohamed Asri.

Mahkamah menetapkan 6 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, mangsa yang masih bersekolah itu kini ditempatkan bersama keluarga angkat yang dilantik Jabatan Kebajikan Masyarakat Limbang.

Berita Harian X