Rabu, 26 Julai 2017 | 2:07pm
SEBAHAGIAN daripada 12 helang pelbagai spesis yang diselamatkan PERHILITAN Kedah selepas disimpan seorang lelaki secara tidak sah di sebuah kediaman di Bukit Jenun, Pendang. - Foto ihsan PERHILITAN Kedah
SEBAHAGIAN daripada 12 helang pelbagai spesis yang diselamatkan PERHILITAN Kedah selepas disimpan seorang lelaki secara tidak sah di sebuah kediaman di Bukit Jenun, Pendang. - Foto ihsan PERHILITAN Kedah

PERHILITAN selamat 12 helang spesies dilindungi

ALOR SETAR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menyelamatkan 12 ekor helang pelbagai spesies yang disimpan seorang lelaki secara tidak sah di sebuah kediaman di Bukit Jenun, Pendang, dekat sini.

Semua helang yang diklasifikasikan sebagai spesies terjadual di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) itu ditemui susulan serbuan dilakukan sepasukan lapan anggota PERHILITAN di premis berkenaan, hasil maklumat risikan semalam.

Pengarah PERHILITAN negeri, Muhammad Ali Che Man, mengesahkan perkara itu melalui satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya hasil soal siasat mendapati seorang lelaki berusia 41 tahun yang ditemui di rumah berkenaan mengakui tidak mempunyai sebarang dokumen pemilikan secara sah untuk menyimpan semua helang berkenaan.

Beliau berkata, antara spesies dirampas ialah Lang Sika (Accipiter trivirgatus), Lang Malam (Machearhamphus alcinus), Lang Hindek (Spizaetus cirrhatus) dan Collared Falconet (Microhietax caerulescens).

"Helang adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716 dan jika disabit kesalahan di bawah seksyen 68(2)(a) akta berkenaan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Semua 12 ekor helang berkenaan dirampas dan selepas mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah, semua helang terbabit akan dilepaskan semula ke habitat asal," katanya.

Berita Harian X