Selasa, 25 Julai 2017 | 3:15pm
CHAN Hui Boo (baju lokap depan) dan Mohd Nasir Aman (baju lokap tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas tuduhan memiliki wang palsu. - Foto NSTP
CHAN Hui Boo (baju lokap depan) dan Mohd Nasir Aman (baju lokap tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas tuduhan memiliki wang palsu. - Foto NSTP

Tak mengaku miliki 1,679 keping wang palsu

SEREMBAN: Dua lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki 1,679 keping wang kertas palsu di sini, bulan ini.

Peniaga, Chan Hui Boo, 70, dan pesara kerajaan, Mohd Nasir Aman, 59, masing-masing membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim G Ramesh.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama di belakang Hotel Carlton di Jalan Datuk Sheikh Ahmad di sini, kira-kira 7.50 malam, 10 Julai lalu, didakwa memiliki wang kertas palsu itu dengan niat untuk digunakan sebagai wang tulen.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan.

Ramesh membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM6,000.

Sebelum itu, Hanif meminta anak guamnya dikenakan ikat jamin bawah RM5,000 dengan alasan faktor umur mereka, selain ikat jamin hanya untuk memastikan mereka hadir ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 Ogos depan.

Berita Harian X