Sabtu, 22 Julai 2017 | 8:24pm
DUA anggota polis memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 341.5 LPT2 dekat Felda Kerteh 2. - Foto Rosli Ilham
DUA anggota polis memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 341.5 LPT2 dekat Felda Kerteh 2. - Foto Rosli Ilham

Timbalan Pengarah Taman Laut maut kemalangan

DUNGUN: Timbalan Pengarah Taman Laut Malaysia (JTLM) Terengganu, maut selepas kenderaan jabatan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 341.5, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dekat FELDA Kerteh 2, petang tadi. 

Mohd Zulhazwan Roslan@Abdul Ghani, 30, maut di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala dalam kemalangan jam 6.15 petang itu.

ANGGOTA bomba memotong pintu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 341.5 LPT2 dekat Felda Kerteh 2, yang mengorbankan Mohd Zulhazwan (gambar kecil). - Foto Rosli Ilham
ANGGOTA bomba memotong pintu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 341.5 LPT2 dekat Felda Kerteh 2, yang mengorbankan Mohd Zulhazwan (gambar kecil). - Foto Rosli Ilham

Dua lagi rakan mangsa Mohd Fatihi Abdullah, 43, dan Muhammad Ishak, 59 tahun, yang juga kakitangan jabatan sama cedera dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan. 

Pacuan empat roda Toyota Fortuner yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melepasi pembahagi lebuh raya sebelum terbalik. 

Ketika kejadian, Mohd Zulhazwan serta dua orang lagi dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu. 

Mangsa yang berasal dari Seberang Marang, tersepit di tempat duduk dan mayatnya dibawa keluar oleh anggota Bomba dan Penyelamat. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad, berkata sepasukan lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan. 

Katanya, jenazah mangsa diserahkan kepada anggota polis untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, mengesahkan kejadian.

Berita Harian X