Sabtu, 15 Julai 2017 | 4:35pm

Siasatan kes murid disepak selesai

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus. - Foto NSTP/Norasikin Daineh
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus. - Foto NSTP/Norasikin Daineh

TAWAU: Polis Tawau mengesahkan sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung laporan ibu kepada seorang murid tahun empat yang mendakwa disepak seorang guru di sebuah sekolah rendah dekat sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata kertas siasatan itu akan diserahkan kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sudah menyiasat kes ini secara menyeluruh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Isnin lalu, seorang murid perempuan tahun empat mendakwa ditendang dan ditampar oleh seorang guru kerana lewat masuk kelas.

Difahamkan, ibu kepada murid terbabit membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas mangsa mengadu sakit pada bahagian kaki selain tidak dapat berdiri.

Pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan retak pada buku lali mangsa, dipercayai akibat tindakan guru berkenaan. Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis.

Berita Harian X