Sabtu, 23 Mei 2020 | 10:21am
TAHAP gula yang tinggi dalam darah mengundang penyakit diabetes. Gambar hiasan
TAHAP gula yang tinggi dalam darah mengundang penyakit diabetes. Gambar hiasan

Kawal glukos dalam darah

Gaya hidup individu tanpa menghiraukan terhadap piramid makanan yang lazimnya tinggi kandungan gula boleh memberikan implikasi buruk terhadap kesihatan seperti berisiko mendapat diabetes.

Tahap gula darah merujuk pada jumlah glukosa dalam darah, lantas ia perlu diberi perhatian bagi mengelak penyakit terbabit.

Justeru, penyedia insurans hayat dan Takaful Keluarga, Sun Life Malaysia Assurance Berhad dan Sun Life Malaysia Takaful Berhad (Sun Life Malaysia), mengadakan Program Saringan Brighter Health membabitkan 13,000 rakyat di Malaysia untuk meningkatkan kesedaran terhadap pengesanan awal diabetes

Melalui Program Saringan Brighter Health itu, menunjukkan 74.3 peratus daripada 12,949 rakyat Malaysia yang disaring mempunyai bacaan glukosa darah lebih tinggi daripada biasa.

Program ini juga turut menunjukkan trend penyakit kencing manis yang semakin meningkat bukan sahaja dalam kalangan warga tua tetapi juga di antara populasi muda.

Secara khususnya, lebih 80 peratus daripada mereka yang berumur 50 tahun ke atas dan 60 peratus yang berumur antara 18 hingga 30 tahun menunjukkan bacaan glukosa darah yang lebih tinggi dari biasa.

Mengulas mengenai penemuan itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden/Ketua Negara bagi Sun Life Malaysia, Raymond Lew, berkata matlamat program ini untuk mengenal pasti lebih banyak kes diabetes yang tidak didiagnos dan meningkatkan kesedaran mengenai pencegahannya.

Katanya, ia sejajar dengan matlamat mereka untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Ujian glukosa darah secara percuma dijalani melalui 127 cawangan farmasi komuniti dan juga acara Brighter Lives Roadshows yang membolehkan syarikat itu menjangkau lebih ramai orang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Melalui program ini, kami melakukan program itu ke atas 12,949 individu di seluruh negara, iaitu jauh melebihi sasaran awal kami iaitu 10,000 orang."

"Negara kita sedang mengalami pandemik global dan pada masa ini, jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran yang tinggi serta pengambilan langkah pencegahan segera penting untuk memerangi pelbagai isu kesihatan," katanya.

Beliau berkata, penemuan program itu sangat membimbangkan kerana bacaan glukosa lebih tinggi daripada biasa meningkat bagi setiap kumpulan umur, seiring dengan penambahan usia.

Justeru, kesedaran dan pencegahan diabetes dari tahap awal amat penting.

Beliau berkata, mereka ingin mengetengahkan kepentingan untuk lebih proaktif dalam memerangi penyakit bahaya ini dalam kalangan masyarakat, sektor awam dan syarikat korporat.

Program saringan ini dijalankan selama enam bulan, iaitu pada September hingga Disember 2019 lalu dengan kerjasama bersama penyedia kesihatan serta farmasi komuniti lain.

Malah, program itu juga dilakukan melalui pelbagai kempen dan platform digital Sun Life Malaysia, selain sokongan daripada Duta Sun Life Malaysia dan bintang filem terkenal, Hairul Azreen.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif untuk Walnut Wellness, Khor Xin Yun, berkata pihaknya komited untuk meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia secara menyeluruh terutamanya penyakit diabetes.

Katanya, satu nisbah dua orang daripada 463 juta orang dewasa yang menghidap diabetes di seluruh dunia tidak menyedari mereka ada diabetes.

"Oleh itu, kempen seperti Program Saringan Brighter Health sangat penting untuk melindungi kesejahteraan kehidupan rakyat negara ini dalam jangka masa panjang.

"Kami gembira melihat lebih ramai rakyat Malaysia menitikberatkan kesihatan mereka serta melihat sambutan yang menggalakkan untuk program ini." katanya.

Berita Harian X