Ahad, 10 Mei 2020 | 10:30am
 DR Foo Chee Hoe. - Foto/NSTP
DR Foo Chee Hoe. - Foto/NSTP

Spektrum kanak-kanak autisme

Apa yang tergambar di dalam minda anda apabila melihat kanak-kanak berkelakuan pelik seperti meronta-ronta, menangis atau menjadi ganas secara tiba-tiba?

Sebagai insan biasa mereka boleh nyatakan pelbagai gambaran berkaitannya.

Itu adalah antara simptom autisme. Individu yang berada dalam spektrum autisme biasanya akan mempunyai tingkah-laku dan cara berinteraksi yang tidak sama dengan orang lain.

Ada yang akan menyifatkan mereka dikategorikan sebagai autisme ini akan berada dalam dunia sendiri, selain menganggap melihat tingkah-laku sebagai pelik dan sukar bekerjasama orang sekeliling.

Mereka mungkin sukar untuk faham perasaan orang lain dan tidak dapat mentafsir isyarat dan maklumat yang ingin disampaikan kepada mereka.

Lazimnya, individu autisme itu juga mungkin akan berasa sangat gelisah dan kurang senang dengan keadaan yang ramai orang, yang bising atau terlalu terang.

Ibu bapa dan orang sekeliling harus menyokong kanak-kanak autistik untuk berhadapan dengan masyarakat umum.
Ibu bapa dan orang sekeliling harus menyokong kanak-kanak autistik untuk berhadapan dengan masyarakat umum.

Sifat ketara mereka juga suka membuat sesuatu berulang-ulang dan boleh jadi marah apabila rutin biasa terganggu.

Mengulas mengenainya, Perunding Paediatrics, Pantai Hospital Ampang, Dr Foo Chee Hoe, berkata setakat ini masih belum ada kepastian mengenai punca sebenarnya autisme.

Katanya, ia mungkin dikaitkan dengan faktor genetik, perkembangan neurologi yang membabitkan susunan dan tafsiran isyarat, bahasa dan rangsangan deria.

"Yang kita boleh pasti melalui kajian ialah autisme bukan disebabkan oleh vaksin, bukan sebab tunjuk ajar dan didikan yang tidak betul oleh ibu bapa.

"Sebenarnya, kebanyakan ibu bapa yang memiliki anak autistik adalah yang paling hebat, bijak dan sabar," katanya.

Dr Foo berkata, bagaimana bagi ibu bapa perlu lebih prihatin dengan tanda-tanda autisme supaya mereka dapat menangani sebaiknya perlu berjumpa pakar untuk mendapatkan nasihat dan perawatan.

Katanya, jika anak anda lambat menguasai kemahiran bertutur dan pemahaman bahasa, tidak jawab atau pandang apabila nama dipanggil atau tiada 'eye contact' seharusnya mereka perlu mendapatkan berjumpa pakar.

Selain itu, simptom lazim dapat dikenal pasti adalah kanak-kanak ini tidak biasa pandang terus pada mata orang yang di hadapannya.

Malah, pergerakannya juga asyik berulang seperti mengepak tangan, suka bermain sendiri dan tidak biasa berkongsi main dengan kanak-kanak lain.

"Kanak-kanak ini apabila diminta mengikut satu rutin harian yang tetap dan ketat, dia akan jadi marah dan tersinggung.

"Ada yang akan mempunyai masalah lambat belajar, ada juga yang mempunyai kemahiran belajar yang tinggi," katanya.

Jadi jangan marah apabila kanak-kanak autistik sukar untuk berkawan rapat dengan orang lain, mudah menyinggung perasaan orang lain tanpa niat.

Mereka juga tanpa sedar dilihat kurang biasa dengan cara bersosial dan berinteraksi.

Cara menangani kanak-kanak austistik

Beliau berkata, langkah pertama ialah ibu bapa perlu mendapatkan penilaian dan diagnosis yang tepat oleh pakar autisme seperti pakar perkembangan kanak-kanak.

Katanya, sokongan padu harus diberikan kepada ibu bapa untuk menghadapi realiti ini dan menghasilkan suatu rancangan jangka panjang untuk mendidik dan membantu anak terbabit.

"Sokongan dan didikan daripada pakar terapi pertuturan untuk membina kemampuan berinteraksi dan menggunakan bahasa amat diperlukan.

"Terapi itu sangat penting dari segi pemulihan cara kerja (occupational therapy) dan terapi pertuturan (speech therapy)," katanya.

Dr Foo berkata, autisme bukan penyakit yang memerlukan ubat atau pembedahan, tetapi ibu bapa dan orang sekeliling harus menyokong kanak-kanak autistik untuk berhadapan dengan masyarakat umum.

Katanya, jangan menganggap pelik jika kanak-kanak berkenaan terlalu gelisah dalam suasana yang bising dan sesak, tidak mudah faham bahasa ataupun mengeluarkan perasaan mereka, sebaliknya beri sokongan dan memahaminya.

"Pada suatu keadaan, anak itu mempunyai masalah untuk memilih makanan, menghadapi masalah tidur lena dan sebagainya.

"Jika demikian keadaannya, semua itu memerlukan terapi sokongan daripada satu pasukan yang padu dan mantap, khususnya dalam kalangan ibu bapa dan keluarga," katanya.

Beliau berkata, apabila individu autistik ini mencapai umur persekolahan, cabaran berterusan akan dihadapi.

Justeru, mereka memerlukan banyak sokongan daripada guru, pakar terapi dan kawan di sekolah.

Katanya, ibu bapa kepada kanak-kanak autistik adalah antara yang terhebat di dunia ini dan kita harus menghargai dan memberi sokongan kepada mereka.

"Mereka adalah wira kepada anak-anak itu dan kita yang menjadi penyokong kepada mereka.

"Sudah tiba masanya masyarakat umum tidak jahil kepada autisme dan perlu kikis banyak mitos dan salah anggapan tentang autisme.

Kita harus percaya bahawa kanak-kanak autistik patut dan mampu mendapat pendidikan yang baik dan bersedia untuk maju ke peringkat dewasa di mana mereka boleh menjadi anggota masyarakat yang baik serta berguna.

Berita Harian X