Sabtu, 2 Mei 2020 | 9:42am

Kekalkan tekanan darah harian ketika PKP

AMALAN gaya hidup sihat dalam pelbagai segi amat digalakkan bagi mengelak kesan buruk pada kesihatan tubuh akibat pandemik COVID-19.

Tekanan darah tinggi atau hipertensi, antara penyakit normal dihidapi yang jangan ambil mudah terutama ketika penularan wabak itu yang belum dapat dikekang sepenuhnya.

Bacaaan 140/90 atau lebih tetap dianggap pembunuh senyap. Satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia mengalami tekanan darah tinggi. Ini bermakna, secara purata dalam keluarga yang terdiri daripada lima orang, sekurang-kurangnya seorang menghidap hipertensi.

Individu yang mempunyai sejarah keluarga, mereka berisiko tinggi iaitu kira-kira 50 peratus peluang untuk menghidap hipertensi.

Rawatan dan perubahan gaya hidup seperti diet rendah-sodium (kurang garam) dan berat badan seimbang boleh membantu mengawal tekanan darah.

Bagaimanapun, ramai yang tidak didiagnosis dan tidak menjalani sebarang rawatan untuk mengatasi atau mengawal masalah hipertensi.

Ini bermakna mereka akan berdepan dengan sekurang-kurangnya dua kali ganda risiko mendapat strok, serangan jantung atau mengalami kegagalan buah pinggang berbanding individu yang mempunyai tekanan darah normal.

Dalam keadaan sekarang mereka yang menghidap penyakit kronik seperti hipertensi, khusus dalam kalangan orang tua lebih cenderung untuk dijangkiti COVID-19. Keadaan warga emas ini akan jadi lebih buruk sekiranya mereka positif dijangkiti virus itu.

Cara mengawal tekanan darah:

Oleh itu, ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka perlu memantau tekanan darah.

Pemantauan tekanan darah boleh dilakukan sendiri di rumah yang pastinya akan membawa perubahan besar dari segi kesihatan dan dalam kehidupan anda.

Kebanyakan orang jarang memeriksa tekanan darah kerana hipertensi terbentuk secara senyap dan tiada sebarang simptom.

Jadi, ramai yang tidak sedar dan menyebabkan ia tidak didiagnos. Selepas sampai satu tempoh, tanpa disedari tekanan darah meningkat ke tahap berbahaya.

Biasanya apabila mengalami komplikasi seperti strok atau serangan jantung, barulah individu mengetahui mereka menghidap hipertensi.

Hipertensi babitkan orang muda

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, menunjukkan peningkatan kadar hipertensi berlaku dalam kalangan orang muda.

Mereka menganggap hipertensi hanya dideritai oleh golongan berusia, lantas mengabaikan penjagaan kesihatan yang optimum.

Justeru, individu berusia 18 tahun ke atas juga perlu memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali.

Walaupun tekanan darah pada tahap normal, sekitar 120/80 mmHg, mereka perlu membuat pemeriksaan setiap tahun.

Jika tekanan darah lebih tinggi daripada biasa mereka perlu memeriksa dengan lebih kerap, iaitu dua kali setahun, selain kurangkan pengambilan garam dan amalkan gaya hidup sihat bagi mencegah darah terus meningkat.

Hakikatnya, semakin tinggi tekanan darah banyak risiko yang bakal ditanggung khususnya jika anda pesakit diabetes dan ada sejarah penyakit itu dalam keluarga.

Mengapa perlu pantau tekanan darah tinggi di rumah?

Peranti atau alat pemantau tekanan darah di rumah adalah pelaburan yang sangat berbaloi bagi setiap keluarga kerana pemantauan berkala akan membolehkan anda mengesan hipertensi dari awal.

Ini sangat penting kerana pelaksanaan rawatan dan pengubahsuaian gaya hidup pada peringkat awal adalah lebih berkesan untuk mengawal paras tekanan darah serta mengekalkannya dalam julat yang sihat.

Bagi mereka yang alat pemantauan digital di rumah sangat membantu mereka:

Mengesan tekanan darah harian

* Ini perlu bagi menunjukkan sama ada pelan rawatan semasa membantu anda mencapai tekanan darah disasarkan.

* Menyediakan maklumat untuk doktor melihat lebih dekat kawalan tekanan darah harian anda.

* Sebagai peringatan mengenai perubahan mengejut atau bacaan tidak normal supaya boleh merujuk doktor untuk dapatkan nasihat.

* Memudahkan anda memeriksa tekanan darah apabila mengalami simptom seperti pening.

Cara memantau tekanan darah di rumah:

* Pemantauan tekanan darah mesti dilakukan dengan betul, sebaik-baiknya dua kali sehari.

* Waktu pagi: Sejam selepas bangun tidur, ketika pundi kencing kosong, sebelum minum sebarang kopi, sebelum makan ubat dan elakkan merokok kerana ia akan mengganggu bacaan.

* Waktu petang: Sebelum makan malam.

Setiap kali, ukur tekanan darah dua atau tiga kali untuk mengelakkan kebarangkalian bacaan palsu.

Cara ujian dan ukuran yang tepat:

* Duduk dalam keadaan kedua-dua tapak kaki rata di atas lantai; jangan silangkan kaki anda

* Letakkan lengan kiri di atas meja supaya ia disokong; kedudukan lengan anda seharusnya tidak melebihi ketinggian paras jantung anda

* Rehat dalam kedudukan ini selama 5 minit

* Pasangkan kaf dan ukur tekanan darah

* Selepas menunggu 1-2 minit, ukur tekanan darah sekali lagi.

Ingat, bacaan tepat penting - seorang daripada pesakit saya mengukur tekanan darahnya sambil berbaring dengan tangannya yang diangkat.

Akibatnya, bacaan lebih rendah daripada tekanan darah yang sebenar. Bacaan palsu seperti ini boleh membahayakan dengan menyembunyikan tahap tekanan darah sebenar. Akhirnya mungkin menyebabkan kawalan tekanan darah lemah.

Memilih alat tekanan darah digital:

Pilih yang mudah digunakan, model yang mempunyai memori untuk membantu doktor memberi ubat yang sesuai untuk anda.

* Cari jenama ada reputasi baik dan disahkan secara klinikal, contohnya Omron.

* Pilih model dengan kaf lengan untuk berikan ukuran paling tepat.

* Bandingkan keputusan yang anda buat dengan bacaan diambil oleh doktor. Dengan peranti yang boleh dipercayai, bacaan seharusnya sama.

Penulis adalah Jabatan Sains Perubatan, Pusat Pengajian Penjagaan Kesihatan dan Sains Perubatan, Sunway University.

Berita Harian X