Sabtu, 21 Disember 2019 | 10:00am
DOKTOR gigi, Dr. Melissa Lee Rong ketika di Klinik Pergigian Q&M di EkoCheras Mall. NSTP/Saifullizan Tamadi.
DOKTOR gigi, Dr. Melissa Lee Rong ketika di Klinik Pergigian Q&M di EkoCheras Mall. NSTP/Saifullizan Tamadi.

Inovasi rawatan gigi elak kesakitan serius

RAMAI takut untuk berjumpa doktor gigi. Lazimnya ketakutan itu dikaitkan dengan prosedur rawatan yang dikatakan lebih sakit selain terpaksa mengalami kesan ngilu selain sakit gusi yang serius.

Keadaan itu menyebabkan masing-masing hanya akan ke klinik gigi jika mengalami kesakitan serius yang sudah tidak mampu ditahan.

Perubahan teknologi kini pasti mengubah rasa takut orang ramai bertemu doktor gigi kerana prosedur berkenaan menyediakan kaedah diagnosis tepat sekali gus mengelakkan pesakit mengalami kesakitan serius.

Prosedur rawatan diramal tidak seburuk dibayangkan kerana evolusi teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) melakukan diagnosis tepat, pesakit hanya memerlukan satu rawatan khusus untuk bahagian yang sakit sahaja.

DOKTOR gigi, Dr. Melissa Lee Rong. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
DOKTOR gigi, Dr. Melissa Lee Rong. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Teknologi AI ini membolehkan pesakit tidak diberi rawatan pergigian ‘try and error’ sebagai penyelesaian kesihatan mulut hingga menyebabkan mereka menanggung kesakitan serius.

Kaedah itu sekali gus mengelakkan pesakit terpaksa mengharungi pelbagai teknik rawatan yang sebenarnya tidak mampu memulihkan masalah gigi mereka.

Menerusi teknologi ini, data pergigian seseorang diakses daripada skrin komputer berbanding kaedah rawatan yang berbeza antara satu klinik, sekali gus memberikan pesakit penyelesaian tepat tanpa risiko tersalah dirawat.

Aplikasi perisian pintar

AI sebenarnya cabang baharu sains pengkomputeran memfokuskan kepada rekaan mesin atau perisian pintar yang bertindak seperti manusia. Biarpun masih dianggap baharu, teknologi berkenaan disifatkan inovasi canggih pada masa hadapan.

Teknologi itu bakal digunakan di negara ini bermula tahun hadapan yang bakal dipelopori kumpulan penjagaan kesihatan pergigian swasta terkemuka rantau ini, Kumpulan Pergigian Q&M.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Pergigian Q&M, Dr Ng Chin Siau (kanan) bersama Pro Naib Canselor (Pembangunan Strategik dan Antarabangsa) International Medical University (IMU), Prof Toh Chooi Gait. NSTP/Saifullizan Tamadi.
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Pergigian Q&M, Dr Ng Chin Siau (kanan) bersama Pro Naib Canselor (Pembangunan Strategik dan Antarabangsa) International Medical University (IMU), Prof Toh Chooi Gait. NSTP/Saifullizan Tamadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pergigian Q&M, Dr Ng Chin Siau, berkata pada kebiasaan pesakit menerima syor rawatan berbeza antara satu klinik dengan klinik lain berikutan kaedah digunakan berbeza.

Beliau berkata, teknologi AI sudah dipraktikkan di Singapura beberapa tahun lalu, jadi dalam memenuhi keperluan dan perkembangan teknologi, pelanggan akan merasai inovasi rawatan pergigian ini dengan sempurna.

“Inovasi ini bermanfaat mengisi jurang dalam penjagaan kesihatan berikutan kemampuannya memberikan pesakit pelan rawatan terbaik serta analisis holistik terhadap tahap kesihatan,” katanya.

Ketika ini Kumpulan Pergigian Q&M mempunyai 30 cawangan klinik pertama negara dibuka pada 2010, selain turut mempunyai 78 klinik di Singapura dan satu di China.

Terbaharu, pembukaan klinik di EkoCheras yang disaksikan perasmian oleh Pro Naib Canselor (Pembangunan Strategik dan Antarabangsa) International Medical University (IMU), Prof Toh Chooi Gait, Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore, Png Cheong Boon dan Pengurus Besar Kumpulan Pergigian Q&M, Foo Siew Jiun.

Dr Chin Siau berkata, rangkaian kliniknya di Singapura memperkenalkan teknologi AI atau reka bentuk berbantukan komputer (CAD) bermula 2014 sebagai pemacu rawatan berteknologi tinggi.

Kamera optik tiga dimensi

“Teknik CAD menggunakan kamera optik bagi mendalamkan imej virtual dalam bentuk tiga dimensi yang kemudiannya dipindahkan dalam perisian sebelum ia memberikan laporan lengkap diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Chooi Gait berkata, sistem AI mengelakkan berlakunya kesilapan dalam memberi rawatan kepada pesakit sekali gus menyelamatkan gigi daripada dibuang tanpa sebab.

“Ini mengelakkan berlaku kesilapan diagnosis melalui tafsiran radiografi automatik serta mencadangkan doktor gigi mengenai pelan rawatan berbanding amalan biasa pergigian.

“Sistem AI sedang dibangunkan bersama IMU, kita menyambut baik hasrat Q&M yang mahu memperkenalkan rawatan pergigian beretika sekali gus menyediakan rawatan penjagaan berkualiti serta boleh diakses semua orang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Chin berkata, penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan masyarakat negara ini masih kurang, menjadi suatu cabaran kerana kesihatan mulut tidak dianggap bahagian rawatan penting.

Bagi mengekalkan kesihatan berterusan, beliau berkata pengenalan teknologi ini membolehkan lebih ramai mendapat manfaat dengan menjalani pemeriksaan gigi dan mulut mengikut jadual.

Latih doktor muda

Kumpulan Pergigian Q&M komited menggilap bakat doktor muda, pada Oktober lalu pihak berkenaan membuka Kolej Pergigian Q&M, dengan menawarkan program diploma kepada lepasan ijazah dalam bidang pergigian klinikal.

Antara modul pengajian ditawarkan iaitu ortodontik, endodontik, implantologi, periodontik, pergigian laser, pembedahan mulut dan maksilofasial.

Modul lain termasuk pergigian digital, protodontik dan restoratif serta pengurusan pesakit dan etika rawatan.

Kursus peringkat diploma ini adalah program berstruktur meliputi kuliah, arahan fizikal dan merawat pesakit di bawah penyeliaan jurulatih klinikal.

“Penubuhan ini diharap melahirkan generasi baharu pakar pergigian dengan kepakaran tambahan dalam bidang kemahiran pembedahan canggih.

“Selain barisan doktor gigi dari Singapura, kita juga menerima pengamal pergigian yang berminat dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan China,” katanya.

Berita Harian X