Sabtu, 2 November 2019 | 11:17am
MAKANAN pedas bercili diambil secara sederhana boleh memberi banyak kesan positif terhadap kesihatan. - Gambar Hiasan

Kesan makan pedas 'berapi'

PEDAS berapi atau berasap menjadi daya tarikan bagi produk tertentu termasuk makanan segera dan menu dihidangkan di restoran atau kafe, sejak kebelakangan sekali gus menjadi trend sehingga digemari masyarakat terutama golongan muda.

Impak makanan itu lazimnya dari Korea itu pada tahap kepedasan melampau, tetapi menjadi kegilaan mereka.

Namun, adakah makanan yang terlalu pedas itu akan memberikan kesan baik atau memudaratkan kesihatan untuk jangka pendek dan panjang?

Pakar Perbidanan Sakit Puan dan Kanser Wanita Pusat Perubatan Sunway, Dr Zaharuddin Rahmat @ Mohd Rawi, berkata secara amnya makanan pedas bercili dan berempah mempunyai rasa lebih sedap serta bau enak menjadikan ramai masyarakat tertarik kepada makanan jenis itu.

Katanya, kesan makanan pedas terhadap kesihatan ada kebaikan dan keburukannya dari sudut kesihatan.

“Tiada kajian dirumuskan dalam menentukan kesan bahaya makanan pedas kepada kesihatan manusia,” katanya.

Dr Zaharuddin berkata, makanan pedas bercili jika diambil secara sederhana boleh memberi banyak kesan positif terhadap kesihatan.


HIDANGAN terlalu pedas apabila boleh menyebabkan sakit ulu hati, kejang dan sakit perut kerana sistem usus cuba menggerakkan makanan ini ke usus besar secepat mungkin. - Gambar hiasan.

Capsaicin bahan utama dalam cili memberi kesan terhadap badan.

Bahan ini mempunyai kesan anti kerengsaan dan anti-oksida yang boleh membantu mengurangkan kesakitan saraf seperti sakit sendi (arthritis), psoriasis serta sakit saraf diabetes.

Katanya, capsaicin juga membantu sistem pengaliran darah, mencegah sakit jantung dengan mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan deposit lipid.

“Ia juga membantu bukaan salur darah dan melancarkan pengaliran darah. Makanan pedas meningkatkan kadar metabolisme dan pembentukan haba (termogenesis) yang mana proses ini menggunakan tenaga dan membakar kalori.

“Cili juga boleh mengawal nafsu makan. Kesannya berat badan dapat dikawal atau menurun serta mengandungi beta carotene dan anti oksida yang membantu meningkatkan sistem imuniti untuk melawan virus yang menyebabkan selsema serta demam, selain mempunyai sifat anti radang yang boleh mencegah dan mengurangkan risiko alahan,” katanya.

Beliau berkata, kajian makmal menunjukkan capsaicin dalam cili boleh mengaktifkan lapisan dalam usus yang boleh mengurangkan risiko kanser usus.

“Capsaicin juga boleh membantu membunuh sel kanser prostat dan mengurangkan saiz ketumbuhan.

“Bagaimanapun, tiada penyelidikan yang besar pada manusia untuk membuktikan teori ini secara tepat ,” katanya.

Kongsi beliau, keputusan kajian berdasarkan populasi di China pada 2015, menunjukkan penduduk yang makan makanan pedas enam hingga tujuh hari seminggu mempunyai pengurangan relatif 14 peratus risiko kematian berbanding dengan penduduk yang makan makanan pedas kurang daripada sekali seminggu.

Namun, kesan ini lebih tinggi jika penduduk itu tidak minum minuman beralkohol.

Bagaimanapun, pengambilan makanan pedas perlu dalam kuantiti sederhana kerana apabila makanan pedas diambil tinggi, segala tindak balas capsaicin ini menjadi terlalu berlebihan dalam tubuh.


DR Zaharuddin. - NSTP Eizairi Shamsudin

“Capsaicin dalam cili akan merangsang saraf yang menghantar isyarat amaran ‘haba’ yang membahayakan ke otak.

“Badan bertindak balas dengan mengeluarkan peluh yang banyak untuk mengurangkan ‘haba’,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan itu hidung pula mengeluarkan rembesan yang terlalu banyak seperti selesema. Apabila makanan terlalu pedas dan masuk ke dalam perut boleh menyebabkan sakit ulu hati, kejang dan sakit perut kerana sistem usus cuba menggerakkan makanan ini ke usus besar secepat mungkin,” katanya.

Pada masa sama, usus pula akan bertindak balas dengan merembiskan terlalu banyak cecair yang boleh menyebabkan cirit-birit.

“Oleh sebab itu, kita biasa lihat wajah dan dan tangan menjadi merah akibat rangsangan makanan terlalu pedas.

“Bagi penghidap penyakit gastrik atau ulser perut, makan cili secara berlebihan ini boleh memudaratkan penyakit sedia ada ini,” katanya.

Fakta makan cili

* Tiada kesan secara langsung makanan terlalu pedas dan kesuburan.

* Makan sederhana pedas boleh membantu kesuburan dengan meningkatkan paras metabolisme, imuniti dan menjaga berat badan.

* Makanan terlalu pedas mungkin boleh menggugat kesuburan dengan mengganggu kesihatan.

* Kerap sakit perut, cirit-birit dan ulser perut.

Saranan pakar

* Makan bersesuaian dengan diri seseorang.

* Tidak semua boleh makan pedas, sederhana atau terlalu pedas. Reaksi setiap orang terhadap makanan pedas adalah tidak sama.

* Berhenti makan makanan pedas jika ada tindak balas melampau seperti sakit perut, cirit-birit dan banyak berpeluh.

Berita Harian X