Rabu, 30 Oktober 2019 | 8:00pm
Keratan akhbar BH pada 28 Oktober lalu.

Syor senarai hitam syarikat pengeluar

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu tindakan lebih keras termasuk senarai hitam dikenakan terhadap syarikat pengeluar yang didapati mengulangi kesalahan mengeluarkan produk kosmetik mengandungi racun berjadual.

Tindakan itu dilihat lebih wajar berbanding hanya menyenaraihitamkan produk yang didapati mengandungi bahan terlarang seperti hydroquinone, merkuri dan tretinoin berikutan kesannya yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman menegaskan, paling utama adalah keselamatan pengguna, selain untuk membanteras lambakan produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang di pasaran tempatan.

“Selain perlu mengenakan syarat yang lebih ketat untuk pendaftaran produk kosmetik pada masa akan datang, perhatian lebih khusus juga perlu diberikan terhadap syarikat yang pernah mempunyai kes kerana mengeluarkan produk dengan bahan beracun.

“Jika kesalahan yang dilakukan mereka kerap kali berulang, seharusnya tindakan bukan hanya kepada produk saja tetapi paling utama syarikat pengeluar terbabit yang perlu disenaraihitamkan,” katanya kepada BH.

Beliau diminta mengulas pendedahan akhbar ini mengenai taktik yang digunakan sesetengah pengusaha kosmetik dengan hanya melakukan sedikit perubahan campuran formula selepas produk lama dilarang dijual di pasaran oleh pihak berkuasa.

Mohd Yusof berkata, tidak mengejutkan jika ada pengeluar yang mengaburi pihak berkuasa dengan tidak menyatakan bahan sebenar dalam produk kosmetik keluaran mereka ketika dihantar untuk ujian.

Justeru, syarat yang lebih ketat bagi mendapatkan pengesahan atau notifikasi produk kosmetik yang dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan perlu dilakukan selepas ini.

Mengenai kesedaran pengguna, Mohd Yusof mengakui masih ramai yang dilihat cepat percaya kepada testimoni yang diberikan pengeluar produk berbanding mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan nasihat daripada pakar yang benar-benar diiktiraf dan bertauliah.


Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

“Lebih membimbangkan pengguna turut percaya dengan dakwaan pengeluar kononnya mereka juga ada pakar sendiri yang mengiktiraf keberkesanan produk. Sedangkan produk yang dikeluarkan biasanya mempunyai kesan yang berbeza bagi setiap individu,” katanya sambil menambah, penggunaan duta dalam kalangan artis dan selebriti juga menjadi pilihan pengeluar untuk melariskan lagi produk mereka.

Ujian klinikal pastikan kesahihan tidak bahaya

Aspek perundangan perlu ditambahbaik bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pengeluar kosmetik yang didapati mengeluarkan produk mengandungi bahan beracun.

Ini termasuk memperkenalkan prosedur ujian klinikal bagi memastikan kesahihan dakwaan pengeluar bahawa produk mereka bebas daripada bahan beracun.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut senada dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) supaya pengeluar yang didapati bersalah melakukan perkara itu disenaraihitamkan.

Pegawai Penyelidik CAP, Mageswari Sangaralingam, mendedahkan bahawa tinjauan persatuan itu turut mendapati barangan kosmetik yang dibatalkan notifikasinya masih boleh didapati di pasaran.

“Selain daripada pihak pengeluar, pengedar yang bersubahat mengedarkannya juga perlu diambil tindakan tegas,” katanya kepada BH.

Mengenai kesedaran pengguna, beliau mengakui keprihatinan mereka terhadap kandungan bahan beracun dalam barangan kosmetik masih rendah.

“Pengguna sendiri lazimnya tidak akan menyemak senarai notifikasi yang disediakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Sehubungan itu, CAP menasihati pengguna supaya sentiasa was-was terhadap produk kerana pengeluar sentiasa mencari helah untuk melariskan keluaran mereka.

Berita Harian X