Isnin, 14 Oktober 2019 | 2:24pm
Awas kepada mereka yang ghairah menggunakan pendakap gigi tiruan kerana anda boleh terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berjangkit, termasuk HIV. - Foto hiasan

Awas, pendakap gigi tiruan boleh terdedah jangkitan HIV

MARANG: Awas kepada mereka yang ghairah menggunakan pendakap gigi tiruan kerana anda boleh terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berjangkit, termasuk HIV.

Mereka yang datang ke Klinik Kesihatan Pergigian Awam (KKPA) untuk mendapatkan rawatan akibat pendakap gigi tiruan di seluruh negara dilaporkan semakin meningkat.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan, Dr Doreyat Jemun ketika mendedahkan perkara ini, berkata, kedatangan pesakit itu kerana mereka mengalami pelbagai jangkitan kesan penggunaan pendakap gigi tiruan.

“Ini membimbangkan apabila masih ramai, terutama remaja menggunakan perkhidmatan haram itu kerana kosnya murah dan mudah, sedangkan mereka berdepan dengan pelbagai risiko penyakit berjangkit.

“Perkhidmatan haram ditawarkan itu dijalankan tanpa mengikut prosedur sepatutnya, dan paling merisaukan kerana kebarangkalian untuk dijangkiti virus dan kuman sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran World Cavity Free Future Day 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) Dr Kamariah Seman dan Pengerusi Alliance For Cavity-free for Future Malaysia (ACFF), Profesor Dr Rahimah Abdul Kadir.

Doreyat meminta orang ramai mendapatkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi dari pihak yang bertauliah.

“KKPA menyediakan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi dan manfaatkan kemudahan yang ditawarkan adalah yang terbaik kerana ia selamat dan murah.

“Banyak kes berkaitan akibat penggunaan pendakap gigi tiruan direkodkan antaranya gigi jadi semakin jongang dan ada kes gigi tertanggal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau kegiatan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi palsu.

“Sejak 2015 hingga sekarang, lima kes berkaitan perkhidmatan itu berjaya dicegah, empat daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

“Kami tahu kesan jangka masa panjang terhadap penggunaan pendakap gigi palsu itu justeru penguatkuasaan akan terus dijalankan,” katanya.

Doreyat berkata, program kesedaran sentiasa dijalankan bagi memberi peringatan kepada orang ramai selain meningkatkan jumlah kedatangan pesakit gigi dan masyarakat ke KKPA.

“Bukan hanya pesakit mengalami masalah pergigian perlu datang ke KKPA tetapi semua orang digalakkan menjalani pemeriksaan gigi setiap enam bulan sekali,” katanya.

Berita Harian X