Sabtu, 12 Oktober 2019 | 10:30am

Sanggup derita demi gaya

Wanita kelihatan anggun dan bergaya apabila mengenakan kasut bertumit tinggi. Ini kerana apabila kaki nampak lebih panjang, ketinggian bertambah, mereka kelihatan lebih ramping.

Badan pula ‘melentik’ ke belakang, malah lebih menarik apabila pergerakan tersusun selain langkah lebih teliti dan kelihatan lebih bergaya.

Meskipun penampilan lebih menyerlah, namun kesan pemakaian kasut tinggi menjejaskan kesihatan. Pemakaiannya mendatangkan kemudaratan untuk kadar tempoh lama.

Pakar Bedah Ortopedik, Dr Mohamed Faizal Sikkandar, berkata tidak dinafikan pemakaian kasut tumit tinggi menjejaskan struktur badan malah menyebabkan sakit belakang. 

 

Ini berikutan dengan memakai kasut tinggi, tumit kaki terangkat dan paksi badan tertumpu kepada bahagian hadapan kaki atau ‘forefoot’. 

 

“Apabila bebanan badan tertumpu bahagian hadapan kaki, bahagian tulang belakang bawah (spina lumbar) membengkok ke belakang (pertambahan lordosis lumbar), memberi keseimbangan pada badan.

“Tulang belakang tidak seimbang pula akan menjejaskan tulang cervical (tulang tengkuk) dan menyebabkan sakit pada bahagian leher.  

“Ketidakseimbangan pada buku lali menyebabkan kecederaan sendi buku lali, tendon dan ligamen di sekelilingnya,” katanya.

Dr Mohamed Faizal berkata, rekaan hujung kasut yang runcing menyebabkan jari kaki ‘berlapik’ antara satu sama lain dan menjadi bengkok akibat kekurangan ruang untuk berada dalam keadaan normal.

Ruang kasut yang sempit menyebabkan kuku jari kaki terbenam di dalam isinya dan menyebabkan kesakitan dan apabila dibiarkan boleh dijangkiti kuman.

 

Masalah pada kaki boleh berlaku apabila tendon hamstring di belakang paha dan otot betis menjadi ketat manakala otot di hadapan kaki serta paha menjadi kendur disebabkan kesan tekanan memakai kasut tinggi pada tempoh lama.

 

“Menerusi perubahan otot dan tendon itu, sendi lutut dan sendi pergelangan kaki menjadi haus, wanita mudah mengalami penyakit ‘osteoarthritis’,” katanya.

Dr Mohamed Faizal berkata, masalah berlaku disebabkan gangguan pada tekstur badan. Apabila paksi badan berubah daripada bebanan badan yang sepatutnya tertumpu pada tumit berpindah bahagian depan kaki.

“Apabila keseimbangan paksi badan ini terganggu, masalah berlaku pada jari kaki, sendi pergelangan kaki, sendi lutut, otot betis, paha dan belakang paha, masalah pada tulang belakang dan juga sakit bahagian leher,” katanya. 

Beliau berkata, kesan lain boleh berlaku dengan pemakaian kasut bertumit tinggi ialah perubahan atau perpindahan fokus bebanan badan pada kaki yang seterusnya mengakibatkan ‘pressure ulcer’ pada jari-jari kaki, tumit dan tapak kaki. 

 

Antara masalah lain boleh berlaku iaitu ‘stress fracture’ atau kepatahan tulang depan kaki disebabkan bebanan berlebihan. Malah, turut berlaku adalah keadaan ‘plantar fasciitis’ iaitu tapak kaki menjadi haus serta cangkuk pada tulang tumit.

“Masalah pada tulang belakang serta leher menyebabkan masalah saraf tersepit atau ‘nerve compression’ seperti lemah anggota badan atau kebas berpanjangan selain masalah ‘prolapsed disc’ atau cakera tulang belakang tergelincir.

“Tidak ada kata putus atau panduan khas pemakaian kasut tinggi, khususnya berapakah tinggi kasut yang ideal dipakai atau usia sesuai memakai kasut tumit tinggi bergantung kepada individu.

“Bagaimanapun, material tapak kasut yang sesuai dan selesa adalah jenis getah. Pilihan ini mempunyai sokongan tumit yang baik.

“Berfungsi sebagai sokongan lentur kaki (foot arch) yang berupaya menyerap impak bebanan badan apabila pemakainya berjalan,” katanya. 

Info

* Urut kaki dan otot di sekeliling kaki dan tumit serta otot betis apabila selesai memakai kasut

tumit tinggi 

* Jangan memakai kasut longgar atau terlalu ketat

* Pilih kasut ‘platform’ atau ‘wedges’ kerana rekaannya lebih stabil disebabkan luas permukaan

lebih besar.

* Elakkan memakai kasut tumit tinggi terlalu lama

* Tukar ketinggian kasut sepanjang minggu supaya kaki tidak ‘terikat’ atau ‘terperosok’ dalam

posisi sama berterusan 

* Pakai kasut berjalan atau kasut rata yang selesa. Tukarlah kepada kasut bertumit tinggi hanya apabila tiba pada majlis yang memerlukan pemakaian koleksi rekaan berkenaan.

*Ini mengurangkan tempoh pemakaian kasut tinggi untuk tempoh lama.

Berita Harian X