Sabtu, 12 Oktober 2019 | 10:30am
FOTO hiasan.

Tekanan punca gangguan mental

Prihatin orang sekeliling dengan mendengar rintihan individu yang berhadapan tekanan membantu mereka daripada membuat keputusan luar dugaan termasuk cubaan membunuh diri.

Tanpa disedari luahan sedemikian dilihat sebagai individu berkenaan mengalami kemurungan serius dan sering beranggapan tidak berguna untuk meneruskan kehidupan kesan tekanan yang dihadapi.

Luahan berkenaan bukan gurauan atau dibuat-buat malah menunjukkan mereka hilang pertimbangan akibat gagal menemui jalan penyelesaian ketika berdepan masalah.

Pakar Psikiatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, berkata langkah pertama perlu diambil mendengar luahan mereka dengan sabar.

Usah cepat menghukum individu terbabit seperti tiada pegangan agama, tetapi cuba memahami senario dialami dan empati dengan mengetepikan apa yang difikirkan.

“Bagi kita, ini mungkin sesuatu yang tidak masuk akal tetapi hakikatnya itulah dirasai individu terbabit ketika itu selain cuba memberikan nasihat dengan ungkapan positif,” katanya.

Tema Hari Kesihatan Mental Sedunia bertemakan Pencegahan Bunuh Diri dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjadi petunjuk kepada tahap kesihatan mental penduduk kepada sesebuah negara.

Katanya sikap tidak mengambil tahu ke atas gangguan mental itu mengakibatkan tragedi tidak diingini seperti bunuh diri.

“Di negara kita, percubaan bunuh diri adalah satu jenayah dan boleh dikenakan hukuman. Justeru, saya menyeru supaya ia dikeluarkan daripada jenayah kerana tekanan ini membabitkan kesihatan mental yang perlu dirawat dan ditangani pada peringkat awal.

“Malah kesihatan mental berkait kesihatan fizikal yang mana, sekiranya mental tidak sihat, secara tidak langsung mengganggu kesihatan fizikal,” katanya.

Kesihatan mental merujuk kepada tindak balas berdepan tekanan, bagaimana kita menanganinya, personaliti adalah faktor yang membentuk kesihatan mental seseorang.

Seseorang dikatakan mengalami gangguan mental apabila gagal menangani situasi dihadapi secara sihat seperti bertindak melulu sama ada di atas jalan raya, bermasalah dalam perhubungan seperti sesama rakan, rakan sekerja dan ahli keluarga.


PAKAR Psikiatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari. - Foto Supian Ahmad

Kegagalan menangani kesihatan mental atau sering mengalami gangguan mental mendedahkan individu kepada penyakit mental lebih serius seperti kemurungan, kerisauan melampau, bipolar dan skizofrenia.

Masalah penyalahgunaan dadah juga dikategorikan sebagai penyakit mental.

“Sekiranya mempunyai tanda seperti tidak boleh tidur, mudah naik radang, tidak lalu makan atau merasakan ada tidak kena dengan emosi, sebagai contoh dulu penyabar, ceria tetapi kini muram atau,hilang kesabaran, berjumpalah dengan orang yang dipercayai.

“Suarakan emosi kerana ini adalah sebahagian proses membantu diri apabila menghadapi tekanan. Bagaimanapun, cari orang yang kita boleh percaya dan jangan sesekali meluahkan perasaan menerusi media sosial,” katanya.

Babitkan ahli keluarga, pasangan

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2018, mendapati kira-kira 29 peratus dewasa atau seorang daripada tiga orang dewasa di negara ini mengalami gangguan mental. Dianggarkan 12 peratus kanak-kanak dan remaja turut mengalaminya.

Jumlah itu menunjukkan keperluan menambah baik perkhidmatan dalam menangani kesihatan mental penting selain meningkatkan kesedaran mengenainya.

Dr Muhammad Muhsin, berkata negara memerlukan lebih banyak pakar psikologi klinikal untuk membantu dalam rawatan terapi psiko.

“Pada masa ini kita kekurangan pakar terapi psikologi iaitu hanya 400 orang bagi nisbah 32 juta penduduk di negara yang mana sepatutnya ditambah 800 sehingga 900 orang.

“Kebanyakan pakar iaitu hampir 60 peratus pula hanya tertumpu di Lembah Klang berbanding di luar bandar,” katanya.

Sekiranya serius dan tidak nampak jalan penyelesaian, perlu berjumpa pakar atau kaunselor untuk bantuan.

Bagaimanapun, tugas kaunselor bukan menyelesaikan masalah tetapi memudahcara masalah dengan menggalakkan pembabitan ahli keluarga dan pasangan.

Pengetahuan mengenai kesihatan mental makin tinggi dalam masyarakat tetapi kena lebih berusaha dengan berjumpa doktor sekiranya mengalami tekanan tanpa perlu menunggu terjadi sebarang insiden tidak diingini.

Masyarakat khususnya ibu bapa perlu celik kesihatan mental dengan menanam nilai baik kepada anak-anak dan menjadi rakan baik anak dalam semua perkara termasuk mendengar masalah dihadapi.

Info

Tanda mental terganggu:

* Cepat marah, tidak boleh tidur malam sebab risau, bermasalah hubungan dengan seseorang.

*11.2 peratus remaja mempunyai idea untuk membunuh diri

* Sembilan peratus merancang untuk bunuh diri

* 10.1 peratus melakukan cubaan untuk bunuh diri.

*Faktor:

- Biologi, sosioekonomi, budaya dan persekitaran

- Faktor kemiskinan dan kegagalan akademik

Berita Harian X