Jumaat, 11 Oktober 2019 | 10:38pm
Vaksin meningkatkan sistem imun badan kanak-kanak dengan penurunan penyakit pneumokokus invasif sebanyak 1,920 kes, pneumonia 58,677 kes dan otitis media akut, 322,228 kes. - Foto hiasan

Pemberian vaksin pneumokokal keputusan bijak tingkat kesihatan anak

KUALA LUMPUR: Peruntukan berjumlah RM60 juta untuk vaksin pneumokokal kepada semua sebagai keputusan bijak kerajaan menurunkan jumlah kematian dan pelbagai penyakit membabitkan sistem pernafasan dalam kalangan kanak-kanak.

Pemberian vaksin itu juga berupaya menjimatkan kos perubatan secara langsung dan tidak langsung sepanjang tempoh lima tahun dengan anggaran berjumlah RM488 juta.

Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata usaha bijak itu sebagai pelaburan jangka panjang kerajaan dalam melahirkan generasi muda lebih sihat menerusi perkhidmatan kesihatan terbaik.


Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Inisiatif ini kata beliau, pastinya berbaloi kerana bakal memberikan pulangan besar kepada negara memandangkan generasi muda yang sihat melahirkan pemimpin cemerlang pada masa akan datang.

Katanya, kajian menunjukkan anggaran faedah kumulatif selama lima tahun termasuk dalam pemberian vaksin ini menurunkan kadar kematian sehingga 792 kes.

“Vaksin meningkatkan sistem imun badan kanak-kanak dengan penurunan penyakit pneumokokus invasif sebanyak 1,920 kes, pneumonia 58,677 kes dan otitis media akut, 322,228 kes.

“Melalui imuniti kelompok ini juga dapat menurunkan kes penyakit pneumokokus invasif dalam kalangan warga emas juga apabila kanak-kanak dilindungi vaksin,” katanya.

Peruntukkan permulaan sebanyak RM60 juta disediakan untuk menyediakan vaksin pneumokokal kepada semua kanak-kanak diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2020 petang tadi.

Dr Musa berkata, suntikan ini juga dapat juga mengurangkan masalah ketidakhadiran kanak-kanak dalam kalangan murid dan menjimatkan masa dan kewangan keluarga bagi tujuan rawatan.

Katanya, penjimatan itu dapat meningkatkan produktiviti kerana ibu bapa tidak perlu kerap mengambil cuti bekerja menjaga anak mereka di hospital.

“Semua faktor ini secara tidak langsung meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara secara holistik,” katanya.

Berita Harian X