Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:36am
BARISAN pemenang anugerah Pengiktirafan Emas Keseluruhan Kategori Sekolah Menengah, SMK Baru Bintulu, Sarawak (kanan) dan penerima Pengiktirafan Emas Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah, SK Pasir Panjang, Selangor di Majlis Pengiktirafan Patrol Denggi Peringkat Kebangsaan 2019 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen banteras denggi menerusi media sosial berkesan

DEMAM denggi yang boleh membawa maut perlu dibanteras secara menyeluruh menerusi pelbagai aktiviti terutama dalam usaha menyalurkan maklumat mengenai pentingnya menjaga kebersihan bagi mengelak wabak.

Menyedari pentingnya usaha membanteras wabak ini, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Sanofi Pasteur mengambil inisiatif menganjurkan program kesedaran tangani denggi, Patrol Denggi 2019 dalam kalangan pelajar peringkat rendah dan menengah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Teoh Nie Chin, berkata usaha bertujuan meningkatkan kesedaran selain menanam semangat pentingkan kebersihan memerangi Aedes, sekali gus mendidik komuniti mengenai bahayanya denggi hingga boleh meragut nyawa.

Beliau diwakili Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Murid), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Faridah Yang Razali, berkata pihaknya mengiktiraf usaha sekolah dan ahli Patrol Denggi 2019 untuk mewujudkan persekitaran lebih sihat.


FARIDAH Yang Razali

“Patrol Denggi 2019 diperkenalkan pada 2011, terus mempamerkan kreativiti, kepintaran dan dedikasi pelajar, layak mendapat pujian atas usaha luar biasa mereka.

“Pelajar perlu memainkan peranan sebagai warga bertanggungjawab dan diucapkan tahniah kepada setiap ahli Patrol Denggi 2019 apabila menjadi contoh terbaik, termasuk guru yang membimbing serta memberi sokongan sepanjang masa,” katanya.

Tingkat pemahaman bahaya denggi

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Patrol Denggi Peringkat Kebangsaan 2019 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kelmarin.

Tahun ini, sejumlah 44,793 kuiz denggi dijayakan, menandakan pencapaian terbaik dalam kalangan pelajar. Ini jelas menunjukkan keberkesanan usaha pelajar mendorong pemahaman lebih baik dalam kalangan komuniti mengenai wabak itu.

Menerusi inisiatif mulai Mac hingga September lalu, Patrol Denggi 2019 berjaya menarik penyertaan 131 sekolah rendah dan menengah seluruh negara menerusi 15,215 inisiatif dasar dan 564,786 aktiviti dalam talian. Usaha ini disertai oleh 795,673 anggota masyarakat, sekali gus mendorong pemahaman lebih baik mengenai bahayanya denggi.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu, Sarawak memenangi kategori utama anugerah Pengiktirafan Emas Keseluruhan Kategori Sekolah Menengah, membawa pulang wang tunai RM5,000 dan kategori sampingan, Penghantaran Video Terbaik memenangi hadiah RM1,000.


NURUL Aleena Ruman Abdullah

Pengetuanya, Nurul Aleena Ruman Abdullah, berkata pelajar dan barisan tenaga pendidik sentiasa peka dengan wabak denggi, justeru pihaknya mengambil langkah drastik menerusi Patrol Denggil 2019, menyuntik kesedaran pencegahan wabak berkenaan dalam kalangan anggota masyarakat.

Manfaat teknologi digital

“Pembabitan pelajar dan guru secara langsung menerusi persembahan drama, pembikinan video pendek dan kesedaran bahayanya denggi menggunakan platform media sosial, membuahkan hasil apabila matlamat menyalurkan maklumat mengenai langkah pencegahan Aedes daripada membiak, sampai kepada kumpulan sasar.

Bagi anugerah Pengiktirafan Emas Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah dan Persembahan Video Terbaik, dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Selangor, membawa pulang wang tunai RM5,000 serta RM1,000.

Anugerah iringan lain termasuklah Kempen Paling Popular Kategori Sekolah Rendah dimenangi SK Sarikei, Sarawak; manakala Kategori Sekolah Menengah, SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor.

Kempen Komuniti Paling Efektif Kategori Sekolah Rendah dan Menengah, dimenangi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Pujut, Sarawak dan SMK Felda Chemomoi, Pahang.

Berita Harian X