Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:43pm
DEKAN Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr Raja Affendi Raja Ali (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Vigilenz Medical Devices, Prof Dr Shudipta Choudhury (dua dari kanan) hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Vigilenz Medical Devices di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Amirudin Sahib

Inovasi rawatan ortopedik elak jangkitan kuman

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkasakan rangkaian kerjasama dengan industri menerusi kerjasama pintar dengan pengeluar peranti perubatan rawatan ortopedik Vigilenz Medical Devices Sdn Bhd.

Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata kerjasama dilaksana dalam memperkemas rawatan pembedahan ortopedik bagi mempercepatkan proses penyembuhan tulang patah menggunakan implan atau besi khas.

Beliau berkata, inovasi itu memperkasakan prosedur pembedahan selain mengawal luka daripada jangkitan yang sering berlaku dalam kalangan pesakit.

Katanya, masalah jangkitan pada tulang boleh merebak ke seluruh badan hingga membawa komplikasi menyebabkan kerosakan kekal hingga menjejaskan fungsi tulang.

“Pada permulaan kerjasama ini merangkumi usaha membangunkan peralatan implan ortopedik kalis biofilem pertama di dunia bertujuan mengelakkan jangkitan kuman pada bahagian yang cedera disebabkan kemalangan.

“Kerjasama UKM dan Vigilenz Medical Devices diharap meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan rawatan terutama dalam bidang ortopedik,” katanya.

Status halal benang jahitan luka

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Vigilenz Medical Devices di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini hari ini.

Katanya, keyakinan UKM menjalin kerjasama ini memandangkan syarikat sama bertindak sebagai pengeluar peralatan rawatan iaitu suture atau benang jahitan luka pertama di dunia mendapat pensijilan halal pada 2015.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Vigilenz Medical Devices, Prof Dr Shudipta Choudhury, berkata kerjasama dengan UKM bertujuan mengenalpasti kegunaan implan terutama dalam kes trauma membabitkan kepatahan tulang serta luka bahagian sama.

“Implan ortopedik ini dilengkapi salutan bactiguard ialah satu proses yang sudah diguna sejak lebih 20 tahun dan dipatenkan menggunakan tiga jenis logam iaitu emas, paladium (logam perak putih) dan perak.

“Salutan ini menghasilkan arus galvanik bagi mengelak bakteria supaya tidak melekat pada permukaan dan mengurangkan risiko jangkitan kuman.

“Lapisan bactiguard sangat nipis dan tidak menjejaskan implan yang disaluti. Inovasi ini membolehkan pihak kami mendapat hak eksklusif menggunakan teknologi salutan bactiguard bagi prosedur implan ortopedik.

“Malah kami banyak melakukan kajian dan bekerjasama dengan peserta industri dalam menghasilkan inovasi rawatan dan perubatan,” katanya.

Berita Harian X