Rabu, 25 September 2019 | 7:13pm
YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkata sesuatu kepada Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr. Hanafiah Harunarashid (tiga dari kiri) selepas Majlis Pelancaran The International Strategy The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Bandar Tun Razak. NSTP/Azhar Ramli.

UKM, The Royal College of Surgeons tingkat kepakaran pembedahan, pergigian

Gambar: Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan The Royal College of Surgeons, Universiti Edinburgh (RCSEd), Scotland menjalin kerjasama dalam meningkat kemahiran pakar bedah dan perkhidmatan rawatan pergigian untuk dimanfaatkan bersama.

Strategi antarabangsa dilancarkan RCSEd dengan Pusat Perubatan UKM (PPUKM) menerusi pertukaran tenaga pakar, dalam bidang latihan dan pemeriksaan pada tahap tertinggi dengan memberi tumpuan keselamatan pesakit secara menyeluruh.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata pihaknya sentiasa komited menerajui pembangunan untuk melahirkan masyarakat dinamik dan berpengetahuan.

Beliau berkata, kerjasama RCSEd sejajar dengan visi kerajaan memperkasa perkhidmatan perubatan dan kesihatan bertaraf antarabangsa.

Katanya, peluang ini mendedahkan pakar tempatan berkenaan perkembangan institusi perubatan yang semakin mencabar selain membolehkan mereka bersedia berhadapan persaingan di peringkat global.

“Pada 2018, UKM berganding dengan RCSEd merasmikan pejabat antarabangsa di Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) di PPUKM.

“Kami berbangga menjadi antara pusat latihan pembedahan komprehensif di rantau ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kerjasama kedua-dua pihak di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Turut hadir sama Tunku Ampuan Besar dari Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Sementara itu, Naib Presiden RCSEd Malaysia, Pala Rajesh berkata, kekurangan doktor bedah dan peningkatan populasi terutama dalam kalangan warga emas menuntut kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan sempurna.

“Lebih ramai pakar bedah diperlukan, RCESd menggalakkan doktor muda dan pelajar perubatan menceburi dunia pembedahan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Tugas RCESd bukan hanya memajukan profesion ini malah meningkatkan potensi individu. Latihan pembedahan mengambil masa yang lama dalam dunia perubatan.

“Pakar bedah perlu melakukan beberapa pembedahan dalam satu hari, bukan hanya kebolehan, malah pakar mestilah cemerlang dalam bidang pengkhususan masing-masing, selain penguasaan akademik yang cemerlang,” katanya.

Antara strategi asas menyediakan pakar perubatan dalam menghadapi cabaran antaranya memperkemaskan kepakaran dan menjadi tempat rujukan secara berkesan.

Usaha lain termasuk menambah baik pengalaman mengajar meliputi semua peringkat selain mengukuhkan kerjasama antarabangsa dengan universiti terkemuka dan institusi perubatan sejagat.

RCSEd berpangkalan di Scotland dengan keanggotaan 27,000 daripada lebih 100 negara. Institusi perubatan paling berwibawa dunia ini melaksanakan dasar penjagaan kesihatan terbaik.

Berita Harian X