Selasa, 24 September 2019 | 7:00pm
Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani (dua dari kiri) beramah mesra bersama K L Lim (kiri) sambil diperhatikan Datuk Seri Norasri Che Husin (tengah), Ronie Chin (Persatuan Kepolisan), Sheon Soo Huan dan Datuk Wan Hamid (Penasihat Keselamatan) selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Program Keahlian Skuad Kasih. - NSTP/Rosdan Wahid

Skuad Kasih tawar premium insurans kesihatan RM120 setahun

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Kebajikan dan Khidmat Sosial Malaysia (Skuad Kasih) menawarkan program bantuan perubatan bagi semua golongan dengan nilai premium RM120 setahun pada perlindungan sehingga RM100,000.

Program itu dilaksanakan Majlis Mesyuarat Dewan Ekonomi Keusahawanan Malaysia (DEUM) bertujuan menampung kos rawatan dan perubatan semua lapisan masyarakat pada kadar premium sungguh berpatutan.

Yang DiPertua Majlis DEUM, Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani, berkata pihaknya menjangkakan keahlian Skuad Kasih mencecah sehingga 300,000 dari seluruh negara sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Agenda Masyhur Sdn Bhd, menawarkan kepada semua ahli Skuad Kasih berdaftar dan menerima perlindungan kemasukan ke hospital sehingga RM100,000 setahun. Nilai perlindungan bayaran kemasukan hospital pula sehingga RM10,000 sebulan.

"Ahli Skuad Kasih hanya perlu membayar RM120 setahun untuk mendapat perlindungan perubatan di semua hospital swasta seluruh negara.

"Pada awal keahlian, ahli perlu membayar yuran pendaftaran berjumlah RM100 sekali seumur hidup ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan Majlis Pra Pelancaran Program Keahlian Skuad Kasih di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan DiPertua Majlis DEUM, Datuk Seri Norasri Che Husin, Ahli Majlis DEUM, Sheon Soo Huan dan Pengasas Agenda Masyhur Sdn Bhd, K L Lim.

Program Skuad Kasih bertujuan membantu golongan sasar daripada golongan isi rumah berpendapatan terendah (B40) membabitkan ibu tunggal, suri rumah dan keluarga kurang berkemampuan tinggal di ibu kota.

Khairul Khuzaini, berkata program itu terbuka kepada semua yang berusia 30 hari hingga 70 tahun.

"Istimewanya program ini boleh disertai sesiapa saja dan tanpa perlu membuat pemeriksaan kesihatan tetapi perlu mengisytiharkan status kesihatan ketika mengisi borang secara dalam talian,” katanya yang mengumumkan Pelancaran Program Skuad Kasih akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 26 Oktober ini di Bangi.

Berita Harian X