Sabtu, 14 September 2019 | 1:01pm
- Gambar hiasan

Rawatan imunoterapi, kemoterapi serentak panjangkan usia pesakit barah

Purata jangka hayat pesakit barah paru-paru tahap empat yang tidak mendapatkan sebarang rawatan, dianggarkan boleh hidup kurang 6.8 bulan saja.

Pesakit yang menjalani kemoterapi mampu mencapai jangka hayat sehingga 10 hingga 12 bulan. Namun menerusi penemuan kaedah rawatan kombinasi imunoterapi dan kemoterapi dilakukan pada masa sama, pesakit berupaya menambah jangka hayat sekitar 4.6 bulan.

Perunding Onkologi Klinikal dan Radioterapi, Dr Matin Mellor Abdullah, berkata imunoterapi dikesan sebagai rawatan baharu yang boleh menambah jangka hayat pesakit barah paru-paru.

“Keputusan itu bukanlah pengalaman individu tetapi statistik diperoleh berdasarkan pesakit yang menjalankan rawatan susulan dengan anggaran hanya 50 peratus pesakit meninggal dunia.

“Ada pesakit yang menerima gabungan dua rawatan berkenaan mendapat jangka hayat lebih panjang iaitu lima tahun,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Imunoterapi setiap tinggi minggu

Dr Matin Mellor berkata, kajian Study Keynote 001 yang dibentangkan pada persidangan American Society of Clinical Oncology(ASCO) di Chicago Amerika Syarikat, Jun lalu, mendapati jangka hayat pesakit terus bertahan selepas menjalani imunoterapi mencapai lima tahun iaitu 25 peratus berbanding tanpa imunoterapi, iaitu lima peratus.

“Imunoterapi membantu menambah jangka hayat pesakit dan jumlah pesakit boleh hidup lebih lama lebih tinggi berbanding hanya menumpukan satu rawatan kemoterapi semata-mata,” katanya.

Kemoterapi ialah rawatan secara menyeluruh berbentuk ubat yang diberikan menerusi suntikan, carboplatin dan paclitaxel atau nab-paclitaxel, seperti mana doktor memasukkan ubat antibiotik yang disuntik.

Jadi, apabila pesakit menjalani kedua-duanya, selain kemoterapi, ubat tambahan imunoterapi iaitu Keytruda (pembrolizumab) juga akan disuntik untuk dimasuk dalam badan pesakit barah paru-paru bukan sel kecil (NSCLC).

Dr Matin Mellor berkata, proses dilakukan setiap tiga minggu selama dua tahun. Rawatan dengan kombinasi Keytruda dan kemoterapi baharu dilancarkan pada Januari lalu untuk rawatan kanser paru-paru sel bukan-kecil metastatik (NSCLC) yang bukan bersifat squamous.

Manakala kegunaan tambahan rawatan kombinasi ini untuk kanser NSCLC yang bersifat skuamosa telah diluluskan Kementerian Kesihatan pada Mei lalu. Kedua-dua rawatan itu sesuai untuk kanser yang sudah berada di tahap tiga dan empat.

Sel merebak cepat

Beliau berkata, jika pesakit barah paru-paru dikesan masih pada tahap satu dan dua, mereka boleh menjalani pembedahan dan kemungkinan besar sembuh sepenuhnya.

Katanya, walaupun pembedahan mampu menyembuh barah paru-paru, namun pakar mendapati barah kembali menyerang ketika melakukan kajian susulan. Ini mungkin berlaku dalam 30 hingga 40 peratus daripada mereka yang menjalani pembedahan yang mampu menyembuhkan mereka.

“Mereka ini memerlukan rawatan kemoterapi juga sekiranya barah mereka tidak mempunyai ‘driver mutation’ di mana rawatan lain disarankan untuk mereka yang mempunyai ciri-ciri ini.

“Apabila barah menyerang semula rawatan yang sesuai perlu diusahakan untuk mengawal penyebarannya. Rawatan dengan kombinasi imunoterapi dan kemoterapi di dapati paling berkesan untuk mendapat jangka hayat yang paling panjang.

“Adalah penting mereka berbincang dengan pakar untuk mendapat maklumat yang terkini dan menerima rawatan yang

sesuai,” katanya.

INFO: Statistik

  • Barah paru-paru, antara kanser utama penyebab kematian di seluruh dunia.
  • Dianggarkan 2.09 juta kes baharu dilaporkan pada 2018.
  • Di Malaysia, barah paru-paru adalah barah ketiga paling biasa berlaku di mana barah kedua (bagi lelaki) dan kelima (bagi wanita)
  • Pada 2018 saja, kira-kira 11 rakyat Malaysia mati akibat barah paru-paru setiap hari.
  • Hampir sembilan daripada 10 pesakit didiagnosis dalam kanser paru-paru tahap lanjut (iaitu peringkat tiga dan peringkat empat)
  • Barah paru-paru adalah salah satu barah manusia paling agresif, dengan lima tahun kelangsungan hidup (11 peratus) dan masa hidup sebanyak 6.8 bulan
  • Faktor Risiko

  • Merokok: faktor risiko barah paru-paru, sekurang-kurangnya 80 peratus kematian akibat penyakit ini disebabkan amalan merokok
  • Asap kedua
  • Bahan lain di tempat kerja (termasuk radioaktif, terhidu bahan kimia atau mineral dan ekzos diesel)
  • Pencemaran udara
  • Terapi radiasi ke paru-paru
  • Arsenik dalam air minuman

  • Sejarah keluarga
  • Tanda-tanda

    Batuk berpanjangan

  • Sakit dada
  • Mengeluh
  • Sukar bernafas
  • Batuk berdarah
  • Rasa letih
  • Rasa berat badan tanpa sebab yang diketahui
  • Gejala lain boleh termasuk serangan radang paru-paru atau bengkak
  • Kebanyakan orang yang menghidap kanser paru-paru tidak mengalami gejala sehingga barah membesar
  • Berita Harian X