Selasa, 3 September 2019 | 11:19am

Ramai tak sedar kolesterol dalam darah tinggi

KUALA LUMPUR: Ramai individu tidak menyedari mereka berhadapan masalah kesihatan antaranya kandungan kolesterol dalam darah yang tinggi dan berat badan berlebihan membawa kepada masalah obesiti.

Keadaan itu menyebabkan masing-masing terkejut selepas disahkan menghidap penyakit serius terutama gangguan sistem kardiovaskular seperti sakit jantung, selain darah tinggi dan diabetes.

Presiden Yayasan Jantung Malaysia (YJM), Datuk Dr HS Sambhi, berkata sikap ambil mudah pentingnya rutin pemeriksaan kesihatan dua kali setahun, menyebabkan individu tadi tidak mengetahui status kesihatan sebenar.

Beliau berkata, pemeriksaan kesihatan penting supaya anda mengetahui status kesihatan, jika pemeriksaan darah mendapati kadar kolesterol tinggi, doktor akan segera menasihatkan jalani amalan gaya hidup sihat.

“Gaya hidup sihat mudah iaitu nikmati sajian seimbang, berhenti merokok dan mulakan senaman sekurang-kurangnya berjalan. Semua aktiviti ini mudah dan boleh dilakukan setiap hari. Contohnya berjalan pantas semua individu boleh melakukannya.

“Senaman mudah ini memberi banyak manfaat selain meningkatkan kesihatan mental dan fizikal, pada masa sama membahagiakan pasangan masing-masing,” katanya.

Kos rawatan membebankan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program riadah Walk-A-Mile Nestle Omega Plus berlangsung di Taman Tasik Perdana, di sini, baru-baru ini.

Program masuk tahun ke-18, turut dihadiri Naib Presiden YJM, Datuk Sulaiman Osman dan Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Perniagaan Susu dan Milo Nestle (Malaysia) Bhd, Kumaran Nowuram.

Pada program berkenaan juga, YJM menerima sumbangan bernilai RM35,000 bagi menampung kos rawatan terutama dalam kalangan pesakit yang kurang berkemampuan.

Larian disertai 4,000 peserta itu kata Kumaran, dianjurkan sempena Hari Jantung Sedunia bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya menjaga kesihatan dengan amalan gaya hidup sihat.

Katanya, aktiviti bermatlamat menyatukan rakyat dengan mengatakan ‘BUKAN SAYA’ untuk kolesterol tinggi dengan mengambil langkah pertama menerusi amalan gaya hidup ke arah jantung lebih sihat.


PRESIDEN Yayasan Jantung Malaysia (YJM), Datuk Dr HS Sambhi. - Foto Eizairi Shamsudin

Separuh populasi risiko serangan jantung

Beliau berkata, statistik Kementerian Kesihatan menyatakan antara faktor risiko penyakit jantung ialah kolesterol tinggi yang menjejaskan 47.7 peratus atau satu daripada dua individu di negara ini.

“Lebih membimbangkan 40 peratus daripada mereka tidak menyedari status kolesterol masing-masing. Sikap ambil ringan mengenai tahap kesihatan dilihat punca peningkatan kes berkaitan jantung.

“Tabiat makan kurang sihat juga menyebabkan ramai berhadapan risiko kolesterol tinggi. Sebagai peneraju kesihatan jantung, kami komited dalam usaha menggalakkan seramai mungkin membuang sikap ambil mudah untuk kolesterol tinggi,” katanya.

Sementara itu, peserta, Siti Aishah Bakar, 34, berkata dia menjadikan aktiviti riadah sebagai rutin menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga.

Suri rumah ini berkata, program sedemikian bukan hanya menyihatkan, malah dimanfaatkan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Hampir setiap tahun kami sekeluarga menyertai larian ini, pada masa sama turut menyertai aktiviti riadah lain yang turut dianjurkan sekitar ibu kota,” katanya yang menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Bagi dua adik beradik, Izzat Yunus, 30 dan adiknya Fareq, 28, mereka menjadikan aktiviti ini sebagai program tahunan melakukan riadah bersama ahli keluarga walaupun masing-masing sibuk menguruskan tugas.

Izzat yang bertugas sebagai jurutera berkata, walaupun tahun ini bapa tidak dapat ikut serta, mereka tetap membawa ibu ke sini untuk menikmati kemeriahan program ini.

“Larian bersifat interaktif, memberi peluang peserta memperoleh maklumat tambahan mengenai panduan penjagaan kesihatan terutama membabitkan jantung,” katanya.


PEGAWAI Eksekutif Nestle Milks dan Milo, Kumaran Nowuram (lima dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Naib Presiden Yayasan Jantung Malaysia (YJM), Datuk Sulaiman Osman (tujuh dari kiri) sambil disaksikan oleh Pengerusi YJM, Datuk Dr. J. S. Sambhi (enam dari kiri) di Program Walk A Mile Nestle Omega di Taman Tasik Perdana. - Foto Eizairi Shamsudin

Pengurusan kolesterol berkesan:

* Amal gaya hidup sihat.

* Kurangkan sajian berlemak

* Kawal pengambilan gula.

* Tingkat pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan

* Mulakan senaman ringan.

* Senaman sekurang-kurangnya lima kali seminggu dengan 20 minit setiap sesi.

* Kurangkan sajian bergoreng dan berminyak.

* Nikmati dua gelas Nestle Omega Plus, mengandungi sterol tumbuh-tumbuhan, menghalang penyerapan kolesterol dalam darah.

Berita Harian X