Sabtu, 31 Ogos 2019 | 1:28pm
Pesakit leukimia, Siti Aisyah Mohd Rozi. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Siti Aisyah bersama adiknya, Muhammad Fariz Danial yang menderma sumsum tulang kepada kakaknya. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Bertaruh nyawa derma tulang sumsum demi kakak

KASIH sayang adik berusia lapan tahun sanggup bertarung nyawa dengan mendermakan sumsum tulang, demi menyelamatkan kakaknya yang menghidap leukemia amat menyentuh perasaan.

Siti Aisyah Mohd Rozi, 15, anak sulung daripada empat beradik, juga pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang, didiagnosis menghidap leukemia, tidak perlu menunggu lama mendapatkan penderma untuk mendapatkan sumsum tulang.

Dengan kesediaan adiknya, Muhammad Fariz Danial sedia berkorban memberikan sinar harapan kepada Siti Aisyah yang didiagnosis ketika berusia 13 tahun dipercayai berpunca daripada limpa membengkak sehingga 36 sentimeter (sm).

Siti Aisyah kerap berasa letih dan tiada selera makan serta sering demam.

Bapanya, Mohd Rozi Hassan, 49, kakitangan kerajaan di Pulau Pinang, mengakui beliau sekeluarga terkejut apabila Siti Aisyah disahkan menghidap leukemia atau barah darah tahap satu kerana sepanjang pembelajarannya di sekolah rendah, anaknya seorang aktif sukan olahraga, selain menunjukkan keputusan cemerlang dalam peperiksaannya.

“Selepas didiagnosis leukemia, Siti Aisyah diberi ubat untuk meredakan kesakitannya. Namun, selepas menjalani pemeriksaan terhadap ahli keluarga, doktor mendapati Muhammad Fariz Danial mempunyai jenis darah sama dengan kakaknya.

“Atas nasihat doktor dan kasih sayang adik yang mendalam mahu melihat kakaknya terus hidup sihat, Muhammad Fariz Danial sedia mendermakan sumsum tulangnya kepada Siti Aisyah.

“Akhirnya proses pemindahan sumsum tulang berjaya dilakukan barisan pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2 Oktober tahun lalu,” katanya.


Siti Aisyah ketika dalam rawatan.

Tak dapat duduk PT3

Mohd Rozi berkata, beliau sekeluarga reda dengan ujian yang menimpa Siti Aisyah. Namun, selepas pemindahan sumsum tulang, Siti Aisyah semakin pulih, namun atas nasihat pakar, beliau tidak dibenarkan terlalu aktif.

“Atas sebab kesihatan juga, anaknya perlu melupakan hasrat menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dan hanya mengambil ujian itu menjelang 2020,” kata Mohd Rozi.

Bagaimanapun, beliau sekeluarga bersyukur mempunyai anak seperti Muhammad Fariz Danial rela mempertaruhkan nyawanya mahu melihat kakaknya meneruskan kehidupan sama seperti remaja seusianya.

Beliau berkata, Siti Aisyah sering menonton televisyen dan laman sosial YouTube program motivasi penceramah kegemarannya, Datuk Prof Dr Muhaya sejak disahkan menghidap leukemia.

Disebabkan program itu, Siti Aisyah selalu meminta dipertemukan dengan Dr Muhaya supaya dirinya sentiasa berfikiran positif berdepan ujian penyakit kronik. Impiannya bertemu Dr Muhaya tercapai dan beliau gembira dapat bertentang mata dengan pakar motivasi itu.

Menerusi kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Make-A-Wish Malaysia, impian Siti Aisyah bertemu idolanya direalisasikan melalui sesi Inspirasi Bersama Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad yang berlangsung hampir dua jam, di Taman Kajang Putra, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Keberanian Muhammad Fariz Danial, 8, rela menjalani pemindahan sumsum tulang untuk didermakan kepada kakaknya yang menghidapi leukemia sewajarnya dijadikan contoh insan lain dalam usaha memberikan harapan baharu kepada pesakit memerlukan.

Sesungguhnya, Muhammad Fariz Danial sedia mempertaruhkan nyawanya dengan menjalani proses berkenaan semata-mata mahu melihat kakaknya beransur pulih daripada penyakit kronik dihidapi.

“Saya terlalu sayang kakak. Hendak lihat kakak sihat seperti remaja lain. Alhamdulillah, kini kesihatan kakak beransur pulih dan mudah-mudahan selepas menjalani rawatan susulan, kakak aktif macam biasa,” katanya sambil memeluk Siti Aisyah.

Bagi Siti Aisyah, keberanian adiknya dianggap wira dalam keluarga dan tanpa kesediaannya mungkin kehidupan beliau kurang bersemangat.

Katanya, beliau tergamam, namun reda apabila dimaklumkan doktor yang dirinya menghidap barah darah tahap awal walaupun aktif bersukan dan mampu memberi fokus terhadap pelajaran sejak sekolah rendah.

Jumpa idola

Katanya, ketika di Tingkatan Satu, beliau diagnosis menghidap leukemia.

“Sejak itu, saya sering sakit dan tidak mampu memberi tumpuan kepada pelajaran dan ada kalanya seperti putus harapan. Namun, saya bersyukur mempunyai adik yang sedia berkorban menjalani pemindahan sumsum tulang.

“Pada masa sama, saya kerap menonton rancangan motivasi Dr Muhaya sebagai terapi untuk segera sembuh. Sejak itu saya menyimpan impian bertemu dengannya suatu hari nanti. Alhamdulillah, hari ini impian menjadi kenyataan untuk bertentang mata dengan idola saya.

“Kini, selepas menjalani pemindahan sumsum tulang, saya terasa perubahan dalam hidup apabila sering berfikiran positif seperti yang disarankan Dr Muhaya dengan mengamalkan konsep 5S iaitu sentiasa syukur, sangka baik dengan semua orang, sabar dalam setiap ujian, sayang semua orang tanpa syarat dan sucikan hati,” jelasnya lagi.

INFO

Mengenai leukemia

* Dikesan menerusi ujian darah.

* Sering didiagnosis secara kebetulan.

Leukemia leukosit kronik (CLL)

* Paling biasa menyerang pesakit.

* Tidak mengira usia

* Lazimnya dihidapi orang dewasa

Leukosit

* Sel darah putih berfungsi melawan kuman dalam tubuh

* CLL terjadi apabila sumsum tulang menghasilkan terlalu banyak leukosit yang tidak terbentuk dengan sempurna dan tidak berfungsi dengan baik

* Leukosit yang berkembang biak

* Meresap ke dalam sumsum tulang dan limpa

* Membinasakan sel tubuh yang membentuk darah.

2911 dibaca
Berita Harian X