Sabtu, 24 Ogos 2019 | 11:32am

Kulit tilapia rawat kulit terbakar

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 265,000 kematian setahun disebabkan kecederaan terbakar yang teruk dan kebanyakannya di negara berpendapatan rendah serta sederhana.

Di tambah pula kematian disebabkan mangsa sukar dirawat kesan daripada jangkitan. Lazimnya, kecederaan pembakaran tahap keempat membabitkan luka pada tisu lebih dalam termasuk tulang dan otot.

Luka bakar yang teruk ini biasanya berwarna hitam, keadaan menjadi lebih kritikal apabila luka sukar dicuci, dirawat dan ditutup bagi mengelakkan jangkitan.

Bagi merawatnya, kebanyakan doktor mengambil kulit pesakit sendiri untuk ditampal pada bahagian luka, pada masa sama menggunakan krim. Malah, ada juga menggunakan kulit babi.

Hampir setengah juta orang di Amerika Syarikat memerlukan rawatan luka kesan terbakar teruk setiap tahun. Kulit manusia atau babi secara amnya digunakan untuk merawat pesakit yang cedera.

Manakala di Brazil, kesukaran biobanks yang dapat memberikan kulit manusia atau babi, menyaksikan luka terbakar hanya dibasuh, dirawat dan dibalut pembalut kain kasa.

Tahap kelembapan maksimum

Prosedur ini perlu dilakukan setiap hari bagi meredakan kawasan luka, namun begitu proses itu menyakitkan bagi pesakit.

Berikutan itu sekumpulan penyelidik dan doktor di Brazil mula menganalisis kulit ikan tilapia, mendapati bahawa ia mengandungi tahap kolagen yang tinggi 1 dan 3, protein yang penting untuk proses penyembuhan parut terbakar.

Selain itu, kulit tilapia menunjukkan ketegangan yang lebih besar dan mempunyai kelembapan lebih banyak daripada kulit manusia.

Pembalut kulit tilapia pertama dirawat dengan agen steril, kemudian disinari bertujuan membunuh virus, kemudiannya dibungkus dan disejukkan sebelum digunakan.

Kulit ikan tilapia diletakkan di atas kulit yang terbakar dan ditinggalkan sehingga meninggalkan parut pada kulit pesakit.

Kecederaan pembakaran tahap kedua memerlukan kulit ikan untuk diubah ketika rawatan tetapi lebih kerap daripada pendekatan pembalut dan krim standard.

Diternak secara meluas

Ketua penyelidik klinik di Fortazela, Brazil Dr Edmar Maciel, berkata rawatan kulit tilapia mengurangkan masa ketika menjalani rawatan penyembuhan. Pesakit pula tidak perlu menggunakan ubat tahan sakit sepanjang tempoh rawatan.

“Sesetengah negara tidak mempunyai akses kepada biobanks dan model haiwan yang diperlukan untuk rawatan mangsa terbakar.

“Justeru, doktor di Brazil menguji penggunaan kulit tilapia kerana ikan berkenaan diternak secara meluas di negara berkenaan.

“Nyata, penggunaan komponen kulit ikan berkenaan berupaya menstabilkan keadaan pesakit, mencegah jangkitan dan mengoptimumkan pemulihan fungsi,” katanya.

INFO

  • Luka terbakar tahap pertama - lapisan kulit ‘superfisikal’ hanya luka merah akibat selaran matahari dan biasanya menyakitkan serta bertahan beberapa hari.
  • Luka terbakar tahap kedua - kecederaan meluas ke lapisan kulit yang mendasari, sangat menyakitkan, kulit boleh melepuh dan menyebabkan parut.
  • Luka terbakar tahap ketiga - kecederaan meluas ke semua lapisan kulit, mengakibatkan kekakuan di kawasan itu, tetapi tidak banyak kesakitan.
  • Luka terbakar tahap keempat - membabitkan kecederaan tisu lebih dalam termasuk tulang dan otot. Luka berwarna hitam dan mengakibatkan kehilangan bahagian yang terbakar badan.
  • Berita Harian X